SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor hari ini memutuskan untuk membatalkan peperiksaan Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA), Pentaksiran Hafazan Al-Quran (PPTQ) dan Sijil KAFA Menengah yang dikelolakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kaedah pentaksiran bagi kesemua peperiksaan itu akan digantikan dengan cara lain dan ditentukan dalam masa terdekat.

"Kerajaan negeri turut menetapkan bahawa peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Agama Tahfiq Quran (SMATQ) dan Sijil Menengah Agama Tarbiyah Diniah (SMATD) pula ditunda ke suku pertama tahun depan.

"Semua peperiksaan awam sekolah seliaan JAIS ini akan dilaksanakan semula sepenuhnya apabila keadaan kembali pulih dan selamat,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata insentif berjumlah RM200 secara sekali bayar akan diberi kepada kira-kira 5,000 pegawai penguat kuasa dan agensi penting kerajaan negeri, termasuk kakitangan pihak berkuasa tempatan di Selangor.

Sebanyak RM1 juta diperuntuk bagi insentif itu dan ia merupakan penghargaan kepada petugas terlibat sebagai barisan hadapan yang menangani wabak COVID-19.

Amirudin berkata kerajaan negeri amat prihatin dengan nasib rakyat terutama golongan yang terkesan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan sentiasa mendalami serta membuat keputusan terbaik bagi menampan dampak ekonomi dan sosial ekoran penularan COVID-19 dari semasa ke semasa. - Bernama

Artikel berkaitan:

11 nota asas Matematik yang wajib dan sepatutnya murid Tahap Dua kuasai

Bina animasi guna aplikasi FlipaClip. Perkongsian menarik Cikgu Fazli BioSensei

Panduan langkah demi langkah bina Google Classroom sendiri berserta video

Hafal dalam masa sehari sepanjang rtempoh PKP,  murid pasti mahir sifir 1 hingga 12

Praktis rutin asas pendidikan digital