PULAU PINANG - "Memandangkan pendapatan keluarga hanya RM300 sebulan, membeli komputer peribadi adalah sesuatu yang mahal bagi saya.

Itu luahan yang dikongsi pelajar tahun dua, bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Sains Malaysia (USM), Muhamad Husaini Asyraf Adnan apabila terpilih menerima sumbangan komputer riba berspesifikasi tinggi, baru-baru ini.

Lebih bermakna lagi apabila ia disampaikan sendiri oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam sesi lawatan kerja beliau ke USM, baru-baru ini.

Bagi Muhamad Husaini Asyraf yang tinggal di Bandar Baru PERDA, Teluk Kumbar, sumbangan komputer riba itu amat dihargainya memandangkan pendapatan keluarganya tidak mampu untuk menampung kos bagi membeli komputer riba.

“Saya tidak mahu menyusahkan keluarga untuk membeli komputer, memandangkan hanya ibu yang bekerja sebagai pengasuh manakala ayah tidak bekerja kerana menghidapi sakit jantung.

“Alhamdulillah, sumbangan ini amat dinanti-nantikan dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih buat USM yang memilih saya untuk menjadi penerima sumbangan kali ini,” katanya.

Abidah (dua dari kiri) menerima sumbangan komputer riba daripada Noraini (dua dari kanan).

Seorang lagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah kategori B40, Abidah Ghazali yang mengikuti jurusan Kejuruteraan Awam turut terpilih menerima sumbangan komputer riba daripada Noraini.

Abidah ketika ditemui selepas menerima sumbangan itu berkata, kekangan kewangan menyebabkan dia tidak dapat membeli komputer riba sekali gus menyukarkan proses pembelajarannya, di samping rumahnya tidak mempunyai talian internet.

Berasal dari Kampung Masjid, Teluk Kumbar, Pulau Pinang, Abidah amat berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan USM itu dan teruja apabila dimaklumkan akan menerima komputer itu daripada Menteri Pengajian Tinggi.

“Ayah bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan RM1,000 sebulan, manakala ibu seorang suri rumah; memang rasa gembira bila dimaklumkan akan menerima sumbangan ini daripada pihak universiti.

“Sumbangan daripada universiti ini memang tidak ternilai dan saya akan menggunakannya untuk melancarkan proses pembelajaran saya, apatah lagi ia cukup menggembirakan saya kerana yang menyampaikannya Datuk Seri Dr Noraini sendiri,” katanya.

Kedua-duanya menerima sumbangan tersebut secara peribadi ketika Noraini berkunjung ke kediaman mereka masing-masing sebagai sebahagian daripada agenda lawatan beliau ke USM.

USM sentiasa prihatin dan mengambil berat mengenai kebajikan mahasiswa di universiti itu.

USM amat memahami kesukaran yang dialami pelajar-pelajar asnaf daripada kategori B40 sewaktu pandemik COVID-19 ini dan pihak universiti telah terpanggil untuk membantu para pelajarnya yang terkesan dengan memberi sumbangan sejumlah 352 buah komputer riba keseluruhan sepanjang pandemik kepada kesemua penerima yang layak.

Pada program itu, kedua-dua mereka turut menerima sumbangan mesin pencetak (printer) dan ‘headphone’ yang disumbangkan oleh wakil daripada Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA).

Sementara itu, Noraini berkata, kementeriannya amat menggalakkan sumbangan sebegini kerana ia mampu membantu golongan pelajar yang kurang berkemampuan.

“Diharap sumbangan yang diberikan ini akan digunakan sebaik mungkin bagi membolehkan proses pembelajaran pelajar-pelajar ini berjalan lancar seterusnya mampu memberi kemudahan buat para pelajar meneruskan pengajian terutamanya dengan situasi kini yang banyak memerlukan pembelajaran secara dalam talian.

“Saya juga berharap kesemua pelajar terpilih ini akan dapat memberi fokus sepenuhnya kepada pengajian dan belajarlah dengan rajin agar mencapai keputusan cemerlang,” katanya.

Teks asal: Mohamad Hafiz Asyraf/Foto: Mohd Fairus Md Isa

Artikel menarik

17 adab yang perlu guru-guru amalkan, ikuti perkongsian Dr Mohd Hasrul

‘Ayah bawa lori, ustazah. Mak pula dah tak ada’ – Luahan murid Tahun 6 ini buat ramai sebak!