KEPALA BATAS - Seorang guru bahasa Arab sebuah sekolah di Tasek Gelugor, di sini kerugian RM9,000 selepas wanita itu ditipu sindiket macau scam yang mendakwa mangsa terlibat kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata wanita berusia 32 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku pegawai di mahkamah dan mendakwa mangsa perlu hadir perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

"Guru itu menafikan dia terlibat dalam sebarang kes jenayah sebelum panggilan tersebut disambung kepada seorang lagi lelaki kononnya anggota polis Insp Akif dari Bukit Aman yang memberi tekanan kepada mangsa termasuk mengugut akan menangkap dan mendakwa wanita berkenaan di mahkamah jika tidak mahu mengikut arahannya," katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Beliau berkata lelaki itu telah mengarahkan mangsa membuka satu akaun bank baharu dan memindahkan semua wangnya ke dalam akaun tersebut untuk tujuan siasatan kerana akaun lama akan dibekukan serta duit berkenaan akan dipulangkan semula.

Katanya mangsa juga telah diarahkan untuk memberikan maklumat termasuk kata laluan akaun dalam talian baharunya kepada suspek sebelum sindiket tersebut membuat beberapa transaksi dengan memindahkan wang guru berkenaan kepada akaun lain.

Noorzainy berkata guru wanita itu hanya menyedari dia ditipu selepas mangsa menceritakan perkara tersebut kepada rakannya dan membuat semakan mendapati wang RM9,000 dalam akaunnya telah tiada.

"Siasatan mendapati suspek melakukan pindahan melalui dalam talian yang dibuat melalui tiga transaksi daripada akaun guru itu kepada akaun berbeza, selain itu wanita tersebut juga diberi amaran untuk merahsiakan panggilan tersebut daripada orang lain kerana mendakwa hal itu adalah sulit," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan pemilik-pemilik akaun digunakan oleh sindiket itu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya. - Bernama

Tip Menarik:

Hafal formula 'Memori Mengarang', murid pasti skor Bahasa Melayu UPSR

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020

Guru Cemerlang kongsi tip Sejarah SPM 2020 - Kuasai Kertas 1,2 dan 3 untuk dapat markah penuh

Cikgu Azlan kongsi tip mudah bina carta pai subjek Geografi

Cikgu ini kongsi cara hafal sifir dalam masa sehari - Murid-murid pasti dapat skor Matematik nanti