BALIK PULAU - Seorang guru di sini kerugian sebanyak RM5,500 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menghubunginya pada jam 8.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, wanita berusia 35 tahun itu dihubungi seorang lelaki yang mendakwa pegawai sebuah syarikat telekomunikasi.

Menurutnya, lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Amirul’ itu memberitahu mangsa bahawa namanya telah didaftarkan atas satu nombor telefon untuk kegunaan internet judi haram.

“Mangsa menafikan perkara itu menyebabkan panggilan tersebut disambungkan kepada kepada ‘Inspektor Mazlan’. Suspek memberitahu mangsa bahawa dia terlibat dengan pengubahan wang haram dan meminta mangsa memberitahu kesemua akaun bank miliknya," katanya di sini semalam.

Anbalagan berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa telah memberitahu suspek bahawa dia mempunyai wang simpanan di dalam satu akaun sahaja.

“Mangsa diarahkan memindahkan wang simpanannya berjumlah RM5,500 ke sebuah akaun yang didaftarkan di atas nama seorang lelaki.

“Mangsa dari Titi Teras, Balik Pulau yang ketakutan itu telah memindahkan wangnya seperti diarahkan tiga jam selepas dihubungi suspek. Mangsa kemudiannya membuat laporan polis apabila mengesyaki dirinya ditipu,” kata beliau.

Artikel berkaitan:

Guru tadika kena tipu di Facebook

Guru rugi RM358,350 ditipu sindiket scam

Pesara guru ditipu RM197,000 oleh kenalan Facebook, rupa-rupanya diperangkap Parcel Scam

Guru taska orang asli rugi akibat ditipu, tawaran pinjaman tidak wujud