BUTTERWORTH - Polis Pulau Pinang mengingatkan pihak sekolah di negeri ini untuk tidak menyembunyikan sebarang salah laku atau aktiviti jenayah membabitkan pelajar dan warga sekolah.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T. Narenasagaran berkata, maklumat awal adalah perlu bagi membolehkan langkah pencegahan dilakukan dengan sewajarnya.

"Kita mohon kepada pihak sekolah supaya jangan menyembunyikan sebarang salah laku mahupun jenayah yang melibatkan warga sekolah kerana kita nak bendung dari awal, itu yang lebih penting," katanya selepas merasmikan Program Jom Ke sekolah Peringkat Negeri Pulau Pinang 2020 di sekolah Menengah Kebangsaan Sama Gagah, di sini semalam.

Beliau berkata seramai 834 Pegawai Perhubungan sekolah (PPS)  yang terdiri daripada anggota dan pegawai polis ditugaskan untuk memantau sekolah rendah dan menengah di negeri ini menerusi program itu.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan kes penemuan rangka manusia di dalam tong sampah di tepi jalan Paya Terubong, dekat George Town pada 29 Jan lepas, Narenasagaran berkata setakat ini polis masih belum mengenal pasti identiti mangsa.

"Polis sedang semak maklumat mengenai orang hilang di samping turut menunggu keputusan DNA (asid deoksiribonukleik). Kita mohon waris atau sesiapa yang kehilangan anggota keluarga atau orang yang tidak dapat dihubungi dalam masa yang lama supaya datang ke balai untuk polis buat semakan jika adanya kaitan dengan kes ini," katanya. - Bernama

Artikel Menarik:

Cikgu Hailmi kongsi 17 tip mudah mengajar murid menjadi lebih kreatif

Ini yang perlu guru amal dan elak dalam bab penampilan - Cikgu wajib hadam

'Jatuh cinta' dengan keunikan dan khasiat buah tin jadikan guru agama ini usahawan berjaya

Cikgu datang mengajar setiap minggu, murid beri cikgu siput buat ganti 'gaji'