SEBERANG JAYA - Koperasi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pulau Pinang Berhad mengambil langkah menumpukan jualannya untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat dan bukannya warga sekolah semata-mata.

Pengerusi koperasi itu, Zakaria Othman semalam berkata jika sebelum ini jualan koperasi sekolah ini lebih tertumpu kepada barangan keperluan belajar dan mengajar, langkah baharu ini akan melibatkan mereka dalam jualan 24 jenis barangan keperluan harian seperti beras, gula, minyak masak dan sebagainya.

"Kalau sebelum ini kami menjual alatan tulis, buku rekod mengajar dan buku kedatangan tetapi zaman berubah kerana semuanya menggunakan kaedah dalam talian sekarang dan buku-buku (dan alatan) ini tidak digunakan lagi. Koperasi perlu ubah (haluan) perniagaan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaraan Co-op Station koperasi itu di sini, beliau berkata barangan keperluan harian masyarakat ini akan mereka jual pada harga antara 10 dan 15 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

"Golongan pembeli yang disasarkan adalah waris kepada murid, guru dan masyarakat setempat. Usaha ini juga membantu memperkasakan golongan asnaf kerana kerja-kerja pembungkusan barang-barang jualan adalah menggunakan tenaga asnaf," katanya.

Zakaria berkata platform Co-op Station yang dijalankan oleh koperasi sekolah-sekolah dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) ini berpotensi untuk merealisasikan sasaran sebanyak 50 buah koperasi sekolah menjana pendapatan RM500,000 menjelang tahun 2020.

Katanya menjelang tahun hadapan, lebih 100 buah Co-op Station dijangka dibuka di sekitar negeri ini yang akan melibatkan 30 buah koperasi sekolah, 15 buah koperasi masjid dan 56 buah koperasi lain.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain yang merasmikan majlis itu berkata kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan usaha jaringan koperasi sekolah dan koperasi induk.

Beliau berkata koperasi serta usahawan perlu menggunakan kaedah pemasaran digital untuk memajukan lagi perniagaan masing-masing. - Bernama

Artikel lain:

Kembali menggesek biola pada usia 86 tahun, Dr. Siti Hasmah pukau alumni SMK St. Mary (4 foto)

Sesma juara Sketsa Rukun Negara

Cikgu Norhailmi, guru Malaysia pertama ikuti High School Teacher Programme 2019 tiba di Geneva