TASEK GELUGOR - Sekolah yang melaporkan kes Covid-19 hanya akan ditutup jika sebahagian besar guru perlu dikuarantin sehingga menjejaskan kecekapan operasi sekolah, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata keputusan penutupan juga mengambil kira penilaian risiko yang dijalankan oleh pejabat kesihatan daerah (PKD).

Sekiranya PKD menasihatkan agar kelas tertentu, tingkat tertentu atau bangunan tertentu ditutup, maka penutupan hanya melibatkan bahagian yang berkenaan, katanya.

"Bagaimanapun, jika kami mendapati operasi sekolah boleh terjejas disebabkan sebahagian besar guru dikuarantin, maka kementerian akan melihat sama ada operasi sekolah boleh diteruskan atau ditangguh,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan kunci Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Gelugor dan wang penyelenggaraan kepada 31 sekolah dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor.

SMK Tasek Gelugor baharu. Sekolah tersebut dilengkapi blok pentadbiran, dua blok akademik, dua blok makmal dan bengkel serta pelbagai kemudahan lain dan akan beroperasi mulai Isnin – FOTO BERNAMA

Dr Mohd Radzi (tiga, kanan) melawat SMK Tasek Gelugor sebelum menghadiri majlis penyerahan SMK Tasek Gelugor serta penyampaian peruntukan penyelenggaraan untuk sekolah-sekolah Parlimen Tasek Gelugor hari ini. SMK Tasek Gelugor akan beroperasi sepenuhnya pada 5 April ini - FOTO BERNAMA

Dr Mohd Radzi (kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM20,000 kepada Penolong Kanan Pentadbiran SJK(T) Ladang Mayfeild, M.Jothi Mariamma bagi peruntukan penyelenggaraaan sekolah pada majlis penyerahan SMK Tasek Gelugor serta penyampaian peruntukan penyelenggaraan untuk sekolah-sekolah Parlimen Tasek Gelugor - FOTO BERNAMA

Sebelum ini, kerajaan negeri Pulau Pinang dilapor menggesa agar tindakan drastik termasuk penutupan diambil terhadap sekolah yang melaporkan kes Covid-19.

Mengulas mengenai majlis, Radzi berkata kementerian itu memberi penekanan besar terhadap infrastruktur sekolah dengan memastikan penyelenggaraan dijalankan secara berterusan.

"Infrastruktur yang baik merupakan asas yang utama supaya anak-anak boleh belajar dalam keadaan yang selesa dan kondusif, serta membolehkan para guru menyampaikan pembelajaran dengan baik," katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui  isu infrastruktur di sekolah sukar untuk diselesaikan sepenuhnya kerana kementerian perlu memberi perhatian kepada lebih 10,000 sekolah di seluruh negara - BERNAMA

Artikel menarik

Kakak tidak pernah makan chicken chop, saya nak bagi dia rasa. Boleh cikgu? Mulianya hati murid ini

Program SUPER tingkat fokus pelajar sekolah secara maya