BUTTERWORTH - Meskipun bergelar Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan, Mohd Hazani Abdullah tidak menjadikan kekurangan yang ada pada diri itu untuk memilih kerjaya sebagai penterjemah, lebih-lebih dengan niat untuk berbakti kepada insan yang senasib dengannya.

Mohd Hazani, 37 yang merupakan penterjemah bahan bacaan tulisan Braille di Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) menyifatkan kerjayanya itu bukan sahaja sesuatu yang menyeronokkan, malah memberi kepuasan buat dirinya.

"Saya rasakan kerjaya ini menyeronokkan kerana berpeluang menerokai bidang yang mencabar di samping dapat mendidik masyarakat celik ilmu melalui membaca terutamanya golongan OKU meskipun berada dalam keadaan serba kekurangan," katanya ketika ditemui Bernama di PPAPP dekat Seberang Jaya, di sini, baru-baru ini.

Katanya, disebabkan bahan bacaan dalam tulisan Braille sangat terhad dan pada masa yang sama mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan pembaca, ia telah mendorongnya melakukan kerja-kerja terjemahan dengan lebih komited dan bersemangat.

"Saya berhasrat untuk memastikan golongan senasib tidak ketinggalan dalam mendapatkan sebarang ilmu pengetahuan malah tidak mahu mereka berasa tersisih disebabkan kekurangan yang dialami," katanya yang memulakan kerjaya di PPAPP sejak tahun 2006.

Dalam pada itu, anak sulung dari tiga beradik itu berkata, proses terjemahan bahan bacaan tulisan Braille untuk kategori buku kanak-kanak mengambil masa sehari suntuk untuk 30 helai muka surat.

"Bagi buku-buku novel pula, masa yang diambil adalah selama sebulan yang merangkumi proses mengimbas teks (untuk satu buku), suntingan (semakan perkataan), menaip seterusnya menjilid buku bergantung kepada ketebalan muka surat sesebuah naskah.

"Proses tersebut melibatkan penggunaan mesin khas yang terdiri daripada alat pengimbas, komputer yang mempunyai perisian terjemahan Braille dikenali sebagai Braille Duxbury (DBT) yang boleh menterjemah teks ataupun tulisan dari buku asal kepada tulisan Braille serta mesin cetakan Braille," katanya.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman sewaktu mula berkecimpung dalam kerjaya sebagai penterjemah Braille, Mohd Hazani mengakui bahawa bidang tersebut agak mencabar, namun setelah menjalani beberapa kursus dan latihan yang disediakan oleh PPAPP serta mendapat bimbingan daripada rakan sekerja, kerja yang sukar akhirnya menjadi mudah sekali gus membuahkan hasil yang memberangsangkan buat dirinya.

"Kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah apabila buku terjemahan yang saya hasilkan di bawah projek Cobrate PPAPP iaitu gabungan tiga elemen; ayat asal di dalam buku, terjemahan (tulisan Braille) dan kolaj foto (berbentuk tekstur menggunakan deria sentuhan) telah terpilih untuk menyertai pertandingan dan pameran di International Federation of Library Associations and Institutions (IFLA) Athens, Greece pada 2019," katanya yang buta akibat demam panas pada usia dua tahun.

Mengulas lanjut projek berkenaan, Mohd Hazani yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkata projek Cobrate PPAPP telah mendapat perhatian meluas oleh peserta antarabangsa dan sambutan yang diterima pada ketika itu amat menggalakkan .

Lebih menarik, katanya di Malaysia hanya PPAPP yang menghasilkan buku-buku Cobrate.

"Cobrate dihasilkan dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil malah melalui projek ini juga dilihat sebagai salah satu platform untuk tarik golongan OKU mengunjungi perpustakaan ini.

"Dan kalau boleh, kami di PPAPP ingin memastikan sama ada ibu bapa ataupun anak yang merupakan golongan OKU cacat penglihatan mahupun normal saling menguasai bahan bacaan Braille agar ilmu yang diperoleh itu akan terus berkembang," tambahnya.

Sehingga kini, sebanyak 3,420 hasil terjemahan bahan bacaan tulisan Braille berjaya diterjemahkan sejak mula diperkenalkan pada 2002.

Bahan terjemahan terdiri daripada beberapa kategori buku termasuk buku cerita kanak-kanak, novel, koleksi kertas peperiksaan sekolah rendah dan menengah serta naskah akademik - BERNAMA

Artikel menarik

24 pesara UniSZA diraikan pada Majlis Jasamu Dikenang

UMK dan UMB jalin kerjasama antarabangsa dalam bidang penyelidikan