BUKIT MERTAJAM - Seramai 900 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Jaya di sini menyertai program cerah ceria yang dianjurkan syarikat BHPetrol.

Program diadakan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah merupakan sebahagian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) BHPetrol dan memberi tumpuan kepada faktor kebolehlihatan di jalan raya, terutamanya di kawasan luar bandar.

Pengarah Logistik BH Petrol, Jaswent Singah berkata, faktor kebolehlihatan di jalan raya dijadikan tumpuan atas sebab saiz fizikal kanak-kanak yang kecil dan ini menyebabkan mereka sukar dilihat pemandu, khususnya pemandu kenderaan yang besar seperti lori tangki minyak.

Menurutnya, program ini menekankan kepentingan melihat dan dilihat serta melengkapkan kanak-kanak dengan pengetahuan dan kemahiran keselamatan jalan raya yang penting.

"Program yang digelar 'Cerah Ceria Bersama BHPetrol' menggunakan kelip-kelip sebagai ikon keselamatan jalan raya kerana ia menyampaikan mesej bahawa walaupun saiznya kecil, ia adalah terang dan boleh dilihat dari jauh.

"Kesemua aktiviti untuk kanak-kanak bantu mereka amalkan tingkah laku selamat di jalan raya," katanya.

Hadir sama, Ketua Sektor Pengurusan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Negeri, Ismail Md Said dan Guru Besar SK Pauh Jaya, Ramlee Abu Bakar.