GEORGETOWN - Tiada apa yang dapat menggembirakan seorang guru apabila melihat anak murid dan pelajar berjaya.

Penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2019, Nawi Ismail, 62, berkata antara pengalaman manis yang tidak akan dilupakannya selama 37 tahun mengajar apabila seorang pelajar yang tidak berminat untuk belajar berjaya memperoleh 4A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Menurutnya, perubahan pada pelajar itu berlaku selepas beliau dijemput menyampaikan ceramah di sekolah pelajar berkenaan.

"Dia lemah belajar dan tidak begitu minat dengan sekolah. Saya tidak ingat apa yang saya cakap dalam ceramah itu sehingga dapat bantu dia dan seterusnya berjaya.

"Setelah dia mendapat keputusan cemerlang itu dia minta gurunya serah RM50 kepada saya. Saya kata pada guru itu saya tak nak duit, tapi pelajar berkenaan memang ikhlas nak beri saya duit itu. Sehingga sekarang saya masih simpan duit RM50 itu, tapi saya tidak tahu siapa pemberinya," katanya pada sidang media, di sini Khamis lalu.

Nawi yang juga bekas Guru Cemerlang Gred Khas C berpengalaman mengajar subjek bahasa Melayu selama 37 tahun, bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, Kuala Terengganu, pada 1980 dan selepas bersara berkhidmat sebagai penceramah motivasi di sekolah seluruh negara.

Katanya pelajar yang lembap mahupun tidak berminat untuk belajar masih boleh dibantu, namun pelajar yang mempunyai masalah keluarga agak sukar sedikit untuk dibantu.

Beliau turut mengingatkan guru-guru muda supaya tidak menolak sebarang tugasan yang diberikan oleh kementerian, jabatan mahupun Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) kerana daripada situ mereka boleh menimba ilmu dan pengalaman.

Sementara itu, penerima anugerah Tokoh Kepemimpinan Pendidikan Kebangsaan 2019, Datuk Asariah Mior Shaharuddin pula berkata pencapaian terbaik beliau sepanjang bertugas di Kementerian Pendidikan adalah menaik taraf Maktab Perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG).

Beliau berkata usahanya itu adalah untuk melahirkan guru yang berkualiti dan berkebolehan untuk memperbaiki standard pendidikan negara.

"Kewujudan IPG juga dapat menyasarkan pelajar Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) untuk dimasukkan ke institut berkenaan bagi tujuan latihan dalam persediaan sebagai seorang guru," katanya.

Terdahulu, Nawi dan Asariah masing-masing menerima wang tunai RM50,000, loket emas bernilai RM10,000 dan plak sumbangan Bank Simpanan Nasional (BSN) pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di SPICE Arena, dekat sini.

Hadiah itu disampaikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Turut hadir Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin. - Bernama

Artikel lain:

Melta saran KPM sedia sistem penilaian khas, bukan MUET

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan