Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang mendapat tempat pertama di Malaysia dan ke-sembilan di dunia bagi kertas Audit and Assurance dalam peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) pada Disember lepas memasang impian untuk menjadi auditor di empat firma perakaunan terkemuka.

Fatin Najwa Azman, 22, berkata beliau sememangnya amat meminati profesion itu dan mengintai peluang untuk bekerja dengan Deloitte, Ernst & Young, KPMG atau PricewaterhouseCoopers sejurus selepas menamatkan pengajiannya.

"Saya mengambil 13 kertas di bawah program ACCA dan telah menyempurnakan sembilan daripadanya. Baki empat kertas lagi akan diselesaikan tahun depan,” katanya kepada pemberita di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Selepas menyiapkan kertas profesionalnya tahun depan, beliau berhasrat untuk mencari pekerjaan sebagai auditor selama beberapa tahun sebelum mengambil kertas profesional lain seperti Chartered Financial Analyst (CFA) atau Certified Management Accountant (CMA).

Meskipun menyedari bidang yang diceburi adalah sukar, gadis yang dilahir dan dibesarkan di Batu Maung itu berkata beliau sukakan cabaran sedemikian.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata beliau tidak pernah menjadi pelajar cemerlang namun kualiti paling penting yang dimilikinya ialah kegigihan.

"Jangan pernah putus asa dalam meneruskan pengajian dan mengejar impian. Tidak mengapa jika anda melakukannya secara perlahan-lahan, asalkan anda tiba ke destinasi yang diimpikan,” katanya.

Fatin, anak kepada pasangan Azman Omar, 55, dan Basariza Hassan, 53, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Permai serta Sekolah Menengah Kebangsaan Abdullah Munshi sebelum melanjutkan pelajaran di Fakulti Perakaunan, UiTM Shah Alam.

Sementara itu, ADUN Batu Maung Datuk Abdul Halim Hussain memberikan wang tunai RM1,000 dan tablet kepada Fatin sebagai tanda penghargaan atas kecemerlangannya.

"Semoga kejayaannya akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar di Pulau Pinang dan seluruh Malaysia untuk terus berusaha bersungguh-sungguh serta mencapai impian mereka. Beliau adalah bukti bahawa kita boleh mencapai kecemerlangan jika kita bercita-cita tinggi dan berusaha bersungguh-sungguh pada masa yang sama,” katanya.

Sumber - BERNAMA