BALIK PULAU- Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas terbabit  kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Teluk Kumbar, di sini, semalam.

Muhammad Izzat Amirul Jumati, 18, dari  Taman Pondok Upeh maut di tempat kejadian  kerana parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan  berkata, dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, mangsa menunggang motosikal sedang dalam perjalanan dari Balik Pulau ke Bayan Lepas.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian,  motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas  dan masuk ke laluan bertentangan.

"Mangsa kemudiannya dilanggar oleh sebuah kereta yang datang dari  arah bertentangan.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati, ia  merupakan jalan lurus dan dua hala. Keadaan permukaan jalan basah selepas hujan," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, bedah siasat di Hospital Balik  Pulau jam 12.10 tengah hari mendapati mangsa  meninggal dunia akibat  cedera parah di kepala.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.