Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada masa kini telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan semua pihak.

Ibu bapa misalnya, ada yang tidak berkemampuan untuk memperuntukkan wang dalam mencetak kerja rumah yang dibekalkan oleh guru-guru dek kekangan kewangan yang dihadapi.

Ini diakui sendiri oleh Pegawai Perhubungan Pendidikan Negeri Pulau Pinang Yayasan Pelajaran MARA, Afzal Nasir Ibrahim.

Sebelum ini, beliau telah mendekati golongan ibu bapa sekitar Sungai Pinang, Balik Pulau , Pulau Pinang dan mendengar permasalahan mereka.

“Saya mendengar keluhan daripada ibu bapa pelajar bahawa mereka terpaksa menanggung kos bahan cetak bagi kerja sekolah anak-anak disebabkan ketiadaan mesin cetakan (printer) di rumah.

“Bila mencetak di kedai, kos cetakan pula sangat mahal terutama cetakan berwarna. Ini sangat membebankan pelajar dan ibu bapa itu sendiri,” ujarnya.

Kerana kesukaran yang dihadapi itu, bermula 29 Januari lalu, pihak YPM mengambil inisiatif dengan menyalurkan bantuan berbentuk tanggungan kos bahan cetakan di Pusat Internet Komuniti (PIK) di Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang, sehingga sesi persekolahan dibuka semula.

Bantuan Sumbangan YPM kepada PIK ini memfokuskan kepada pelajar - pelajar yang tiada akses internet untuk mengikuti kelas PdPR secara atas talian di pusat berkenaan.

Mereka yang dibantu adalah pelajar dalam kalangan penduduk sekitar PIK tersebut.

Dengan sumbangan daripada YPM ini, diharapkan ia dapat membantu ibu bapa dan pelajar terutamanya calon yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Semoga usaha dan sumbangan ini memberikan kemudahan serta semangat kepada anak-anak didik agar pembelajaran mereka dapat diteruskan dengan sempurna.

Artikel menarik

Komited sediakan pendidikan berkualiti tinggi, Kolej dan Universiti SEGi terima 6 pengiktirafan KPT

Koleksi nota asas Matematik yang wajib dan sepatutnya murid Tahap Dua kuasai