BUKIT MERTAJAM - Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Beng Teik (Pusat) di sini bakal mencipta sejarah apabila menjadi sekolah pertama di negeri ini yang dilengkapi panel solar melalui perjanjian Pembekalan-Tenaga Boleh Diperbaharui antara sekolah itu dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan GSPARX.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu di sekolah berkenaan hari ini berkata kerajaan negeri amat mengalu-alukan kolaborasi antara pelbagai pihak untuk meningkatkan lagi inisiatif penjanaan tenaga yang boleh diperbaharui.

" SJKC Beng Teik (Pusat) merupakan sekolah pertama di negeri ini yang memasang solar sebagai sumber elektrik bagi kegunaan harian. Ia merupakan sekolah pertama yang menjalin kolaborasi dengan TNB bagi memasang panel solar untuk menjana tenaga boleh diperbaharui bagi kegunaan sekolah.

"Saya percaya ini merupakan satu trend ke hadapan bagi menangani isu-isu tenaga perubahan iklim dan pembangunan mampan, maka segala inisiatif hijau perlu diketengahkan dan dimajukan," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Chow berkata pihaknya menyambut baik usaha TNB dan turut merancang kemungkinan akan mengambil bahagian dalam pemasangan solar itu di bangunan-bangunan milik kerajaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Peruncitan TNB Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata TNB memperuntukkan kos kira-kira RM400,000 hingga RM500,000 dengan kontrak selama 25 tahun dalam menjalin kerjasama dengan sekolah berkenaan.

"Ia sebenarnya akan memberi kesan yang positif dari sudut pengguna yang mana akan berlaku penjimatan berhubung dengan bagaimana elektrik boleh dijana, dapat membantu contohnya pihak industri dan sekolah mengurangkan bil elektrik dan membantu negara kita seperti mengurangkan karbon," katanya.

Dalam pada itu, Megat Jalaluddin berkata TNB melalui anak syarikatnya, GSPARX, turut membuka peluang kepada pengguna-pengguna domestik untuk memasang panel solar di kediaman milik mereka.

"Terdapat dua pakej kepada pengguna untuk membuat pilihan iaitu pilihan pertama ialah untuk beli panel solar dan kita bantu pasang manakala pakej kedua TNB akan mengeluarkan modal untuk membeli peralatan melibatkan solar dan kita akan bantu pasang di atas bumbung bangunan," katanya.

Beliau berkata dengan penggunaan panel solar, penjimatan elektrik dapat dikurangkan kepada 15 hingga 20 peratus. - Bernama

Artikel lain:

Cikgu ini yakinkan pelajarnya yang subjek Matematik sangat mudah dan ini yang beliau buat...

UPSR makin hampir, sudah bersedia untuk menjadi pelajar cemerlang?

Wow... tulisan tangan ni seperti cetakan komputer