GEORGE TOWN - Kementerian Pendidikan melihat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Ara, dekat sini berupaya menjadi sekolah contoh kepada sekolah-sekolah di negara ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata sekolah itu mengamalkan pendekatan pembelajaran secara terbuka dan 'fun learning' (kegembiraan waktu belajar) selain menjalankan aktiviti penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar bagi mewujudkan suasana sekolah yang lebih selesa dan menyeronokkan.

"Saya agak kagum apabila melihat kejayaan sekolah ini menjadikan murid-murid sayangkan sekolah ini dan tidak mahu balik rumah sehinggakan testimoni yang ditunjukkan oleh para ibu bapa, anak-anak mereka tak nak balik rumah, nak duduk dekat sini (sekolah)...mereka seronok.

"Ini yang kita harapkan sekolah ini menjadi contoh kepada sekolah lain bagaimana 'fun learning' dan juga penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar dapat dilakukan. Tahniah kepada Guru Besar, Sangga Sinnayah dan seluruh warga sekolah kerana cukup komited dalam mendidik anak-anak mengenali dunia dengan cara yang cukup hebat," katanya kepada pemberita selepas melawat SJKT Sungai Ara, dekat sini Jumaat lalu.

Beliau berkata sekolah itu turut menjadikan 'United Nations Sustainable Development Goals' sebagai fokus dan difahamkan sekolah berkenaan juga tidak menetapkan kerja rumah untuk murid-murid, sebaliknya hanya mahu mereka menikmati persekitaran sekolah secara positif.

Menurutnya, kementerian memberi peruntukan sebanyak RM20,000 untuk penyelenggaraan sekolah berkenaan manakala Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Terjemahan Negara memberi sumbangan buku kepada Pusat Sumber sekolah itu bernilai RM4,000.

Dalam pada itu, Maszlee menyeru lebih banyak sekolah berbeza aliran mewujudkan suasana lebih harmoni menerusi aktiviti yang dilaksanakan secara bersama.

"Sebagai contoh, SJKT Sungai Ara dan Sekolah Agama Sungai Ara yang terletak bersebelahan dan berbeza aliran tetapi sentiasa menganjurkan program bersama. Pengiktirafan patut diberikan kepada kedua-dua sekolah kerana mendukung cita-cita dan aspirasi keharmonian, terutamanya di Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai SJKT Sungai Ara yang akan terjejas dengan projek lebuh raya Pan Island Link 1 (PIL1), Maszlee berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan kerajaan negeri berhubung perkara itu.

PIL1 yang merupakan satu komponen di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion, adalah jajaran lebuh raya tanpa tol sepanjang 19.5 kilometer dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran fasa IV Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, merangkumi bahagian jejambat sepanjang 7.6 km, terowong (10.1 km) dan tambak (1.8 km).

Projek itu juga termasuk enam persimpangan (interchange)(IC) yang menghubungkan semua hab utama di sepanjang jajaran bagi penyuraian trafik di lokasi strategik iaitu  Gurney IC, Utama IC, Paya Terubong IC, Relau IC, Tun Dr Awang IC dan Tun Dr Lim Chong Eu IC. - Bernama

Artikel lain:

Melta saran KPM sedia sistem penilaian khas, bukan MUET

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan