NIBONG TEBAL - Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Selatan (SPS) melancarkan studio digital pendidikan yang pertama seumpamanya di Malaysia bagi memudahkan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mansor Othman berkata, pembinaan studio digital tersebut adalah bertujuan untuk menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk video berkualiti tinggi yang dihasilkan melalui proses rakaman seterusnya melancarkan proses PdPR dalam talian.

Menurutnya, studio digital pendidikan itu bakal memberi manfaat kepada 30,000 murid sekolah rendah dan menengah serta 2,500 guru dari 56 sekolah di daerah ini malah turut mengalu-alukan semua warga pendidik dan pelajar di negeri ini untuk menggunakan kemudahan tersebut.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mansor Othman - Gambar daripada Google

"Institusi pendidikan tempatan lain seperti Kolej Komuniti, Kolej Vokasional dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di daerah ini khasnya dan di Pulau Pinang amnya juga turut berpeluang menggunakan kemudahan studio digital ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Studio Digital yang diberi nama Studio Digital Dato' Dr Mansor Bin Haji Othman di PPD SPS, di sini hari ini.

Mansor yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata pihaknya turut memberi peruntukan sebanyak RM40,000 kepada PPD SPS untuk membina studio tersebut yang dilengkapi dengan kelengkapan alat rakaman video berkualiti tinggi bagi menerbitkan video pengajaran dan pembelajaran yang lengkap.

"Apa yang penting adalah para pelajar juga dapat mengakses bahan pengajaran dengan lebih mudah dan tidak terbatas dengan masa serta dapat mengikuti pengajaran pada bila-bila masa yang sesuai," katanya.

Artikel menarik

Ciri-ciri seorang guru yang berkesan. Guru Cemerlang kongsi lima rahsia

Cikgu Aidil Azahar aktif dalam dunia kebajikan hingga jadi sumber rujukan warga pendidik