PULAU PINANG - Kedatangan bulan Ramadan membuka peluang kepada orang ramai yang ingin bersedekah dan berinfak untuk berbuat demikian melalui “Khemah Infak Ramadan: "One Stop Centre" yang didirikan di Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) (Kampus Induk), di sini, baru-baru ini.

Pusat sehenti yang dikelolakan oleh Jawatankuasa Aktiviti Ramadan 2021/1442H Peringkat USM itu dijadikan sebagai tempat pengumpulan sumbangan bahan mentah oleh orang ramai bagi aktiviti jamuan berbuka puasa di Masjid Al-Malik Khalid USM.

Pengarah Pusat Islam USM, Mohammad Shukri Osman, berkata kehadiran pelajar termasuk masyarakat setempat untuk jamuan berbuka puasa setiap petang dianggarkan seramai 1,800 hingga 2,000 orang.

"Kos jamuan berbuka puasa pula untuk setiap petang pada tahun ini dianggarkan sebanyak RM6,000.

"Jadi, sesiapa yang ingin bersedekah bagi tujuan tersebut, bolehlah menyalurkan sumbangan di khemah Infak Ramadan yang disediakan,” katanya.

Sumbangan juadah iftar sudah menjadi acara tahunan di USM- Gambar ihsan daripada USM.

Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik disediakan oleh Ahli Jawatankuasa Ramadan 1442H USM untuk disertai beramai-ramai oleh warga kampus dan masyarakat setempat sepanjang bulan mulia ini termasuklah iftar, solat sunat tarawih dan aktiviti kerohanian di malam hari.

Tadarus dan kuliah secara dalam talian serta kuliah selepas solat Zohor turut diadakan setiap hari sebagai pengisian bermanfaat, seterusnya akan diadakan qiamullail dan sahur pada 15 malam terakhir Ramadhan.

Menurut Mohammad Shukri lagi, beliau amat mengalu-alukan kehadiran warga kampus mahupun orang ramai untuk melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti yang disediakan khas sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

"Saya menyeru kehadiran orang ramai untuk memenuhi masjid bagi merebut peluang hadir ke aktiviti Ramadan yang disajikan, termasuk juga dengan aktiviti kesukarelawanan sekiranya lapang bagi membantu menyiapkan segala aspek keperluan terutamanya persiapan juadah iftar pada waktu pagi, ujar beliau lagi.

Tambah Mohammad Shukri, setiap aktiviti dijalankan yang membabitkan orang ramai di masjid terutamanya majlis berbuka puasa dan solat sunat tarawih sentiasa dipantau dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan penularan wabak pandemik Covid-19.

"Kita sedia maklum Pulau Pinang masih tertakluk dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan saya nasihatkan jemaah yang hadir untuk sentiasa patuh dan menjaga SOP yang ditetapkan oleh pihak Jawatankuasa Aktiviti Ramadan,” katanya.

Sumber asal: Facebook Pusat Islam USM/Teks asal: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Ebrahim Abdul Manan

Artikel menarik

'Dia tiba-tiba menangis bila saya tanya kenapa tak siapkan kerja sekolah' - Ustazah Mawaddah

'Syafiqah, maafkan cikgu. Andai waktu boleh diputar... - Cikgu Koreayati luah kekesalan