A. PEMBUKAAN SEMULA SEKOLAH

1. Adakah sekolah dibuka semula semasa PKPB?

Tidak, semua sekolah masih ditutup.

2. Bilakah akan dimaklumkan mengenai tarikh pembukaan semula sekolah?

Sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sekolah dibuka.

B. GURU DAN PENTADBIR SEKOLAH

3. Bolehkah pengetua/guru besar dan pentadbir hadir bertugas di sekolah semasa PKPB?

Boleh, jika ada keperluan.

4. Bolehkah guru terus melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dari rumah semasa PKPB?

Boleh. Guru digalakkan untuk terus melaksanakan PdP dari rumah.

5. Bolehkah guru ke sekolah semasa PKPB?

Boleh, jika terdapat keperluan dengan kelulusan pentadbir sekolah. Pentadbir sekolah perlu memastikan kehadiran pada tahap minimum pada satu-satu masa.

6. Bagaimanakah guru yang terkandas di kampung/luar kawasan boleh pulang ke tempat tinggal semasa PKPB?

Guru hendaklah memohon melalui aplikasi GERAK MALAYSIA dan mengikut jadual yang ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Guru perlu membuat perancangan awal untuk pulang ke tempat tinggal.

7. Adakah guru yang pulang ke negeri tempat bertugas perlu menjalani kuarantin?

Tertakluk kepada keperluan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri berkenaan.

8. Bagaimanakah guru yang sedang berada di Semenanjung boleh pulang bertugas ke Sabah/Sarawak/Wilayah Persekutuan Labuan atau sebaliknya?

Guru hendaklah memohon melalui aplikasi GERAK MALAYSIA bagi perjalanan ke lapangan terbang yang merentasi sempadan negeri. Tiket perlu ditempah sendiri dengan seawal mungkin bagi memastikan proses perjalanan yang lancar termasuk keperluan untuk kuarantin.

9. Adakah KPM menyediakan panduan kepada pihak sekolah dan guru bagi memastikan keselamatan mereka semasa bertugas di sekolah dalam tempoh PKPB dan Pasca PKP?

Ya. KPM akan mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Sekolah pasca PKP yang turut terpakai semasa PKPB.

C. ANGGOTA KUMPULAN PELAKSANA (AKP)

10. Bolehkah Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) ke sekolah semasa PKPB?

Boleh, jika terdapat keperluan dengan kelulusan pentadbir sekolah. Pentadbir sekolah perlu memastikan kehadiran pada tahap minimum pada satu-satu masa.

D. PERKHIDMATAN KEBERSIHAN BANGUNAN DAN KAWASAN (KBK)

11. Bolehkah perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) di sekolah/institusi pendidikan/pejabat/kuarters di bawah KPM dilaksanakan semasa PKPB?

Boleh, kecuali bangunan yang dijadikan sebagai pusat kuarantin dan penempatan yang diselia oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

12. Berapakah bilangan pekerja perkhidmatan KBK yang dibenarkan hadir bertugas?

Mengikut bilangan yang ditetapkan dalam kontrak.

13. Adakah skop dan waktu bekerja bagi pekerja perkhidmatan KBK mengikut ketetapan dalam kontrak?

Ya.

14. Apakah arahan/tindakan yang perlu dipatuhi pekerja KBK ketika melaksanakan perkhidmatan?

Pekerja KBK perlu melakukan kerja pembersihan mengikut Garis Panduan Kementerian Kesihatan (KKM) seperti mengamalkan penjarakan sosial, sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman serta memakai penutup mulut dan hidung ketika melaksanakan tugas. Selain itu, pekerja perlu mematuhi garis panduan lain yang dikeluarkan pihak berkuasa dari masa ke masa.

15. Apakah tanggungjawab syarikat/kontraktor perkhidmatan KBK dalam melaksanakan perkhidmatan?

Syarikat/kontraktor perlu:

a) Memastikan pekerja yang tidak sihat atau bergejala tidak datang bekerja dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

b) Memastikan pekerja segera pulang ke rumah selepas selesai menjalankan tugas bagi mengelakkan sebarang bentuk perhimpunan.

c) Memaklumkan pihak KPM/jabatan sekiranya terdapat pekerja mereka yang disahkan positif Covid-19.

E. SEKOLAH SWASTA

16. Adakah soalan lazim ini terpakai untuk pengoperasian sekolah swasta?

Ya.

Artikel berkaitan:

Pembukaan semula sekolah dinilai dalam tempoh empat minggu ini

Di mana ada cabaran, distulah ruang untuk bina perubahan

'Belajar dalam 'new norm'. Berkesankah?' - Guru risau murid 'batch' Covid-19

LMS sebagai pelantar norma baharu pendidikan rendah dan menengah

JAIS guna kaedah penilaian dan pentaksiran berasaskan sekolah ganti peperiksaan batal