PUTRAJAYA - Putrajaya menjadi kawasan terbaharu mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat semalam dengan tiga lagi kawasan turut mencatatkan IPU melebihi 201.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 6 petang semalam, Putrajaya mencatatkan bacaan 204 berbanding 203 pada jam 9 pagi.

Tiga kawasan lain yang turut berdepan jerebu teruk sehingga diklasifikasikan sangat tidak sihat ialah Johan Setia, Selangor (226), Kuching (229) serta Sri Aman (208) di Sarawak.

Selain itu, bacaan APIMS semalam menunjukkan 29 kawasan turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, 27 kawasan pula merekodkan bacaan sederhana manakala lapan kawasan dalam keadaan sihat.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan mengumumkan penutupan semua 25 sekolah di Putrajaya esok akibat jerebu.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Farizah Ahmad berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 setakat jam 5 petang semalam.

Dalam pada itu, bacaan IPU di Tangkak, Johor dan Melaka mencatatkan penurunan daripada sangat tidak sihat kepada tidak sihat semalam.

Bacaan APIMS merekodkan bacaan IPU di Tangkak (120) dan Melaka (140) berbanding 249 dan 218 semalam.

Penurunan jerebu di negeri itu membolehkan sesi persekolahan di Tangkak, Muar dan Pontian di Johor selain di Melaka beroperasi semula seperti biasa hari ini.

Lebih 220 sekolah di tiga daerah di Johor sementara 315 sekolah lagi di Melaka terpaksa ditutup sejak Ahad lalu ekoran bacaan jerebu merekodkan sangat tidak sihat.

Artikel Berkaitan:

298 sekolah di Sarawak ditutup, IPU lebih 200

145 sekolah di Selangor tutup esok akibat jerebu

IPU lebih 200, sekolah di Daerah Port Dickson terpaksa ditutup hari ini