PUTRAJAYA - Bas yang terlibat dalam insiden kematian murid akibat memijak lantai bas yang jerlus di Kelantan baru-baru ini, telah melalui pemeriksaan berkala pada bulan Mei lepas, kata Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Puspakom berkata berdasarkan rekod dan gambar-gambar pemeriksaan, pihaknya telah memeriksa bas sekolah tersebut mengikut skop dan piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa.

"Kesemua item pemeriksaan pada bas sekolah tersebut adalah dalam keadaan baik," kata Puspakom dalam kenyataan Jumaat lalu.

Puspakom berkata pihaknya juga telah menghantar laporan pemeriksaan bas sekolah itu selepas kemalangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Rabu lepas.

Puspakom berkata ia tidak boleh memberi komen mengenai laporan tersebut secara lebih lanjut kerana perkara itu di bawah siasatan polis.

Seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang, Wan Mohammed Adam Mohd Suria, meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh daripada lubang hadapan bas, ketika dalam perjalanan ke Besut, Terengganu untuk menghadiri bengkel bahasa Inggeris pada 4 Julai lepas.

Puspakom turut menegaskan pihaknya tidak sesekali berkompromi terhadap kenderaan yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Adam hasrat sambung ke Sekolah Menengah Sains Machang' - Ibu murid jatuh bas (4 foto)]

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Bas itu sepatutnya tidak boleh bawa kanak-kanak' - Ketua Polis Daerah Pasir Puteh]

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Pihak sekolah, ibu bapa perlu periksa bas sebelum sewa' - PPIK]

Lebih 26,000 pemeriksaan berkala bagi bas-bas sekolah telah dilaksanakan dalam tempoh 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2019 yang mana lebih 7,300 bas sekolah atau 28 peratus daripadanya telah gagal pemeriksaan Puspakom kerana tidak mengikut piawaian pemeriksaan, katanya.

"Ini merangkumi bahagian atas dan bawah kenderaan, brek, sistem gantungan kenderaan, gelincir sisi, asap dan lain-lain lagi yang tertakluk dalam skop pemeriksaan," katanya.

Puspakom berkata rekod itu jelas menunjukkan bahawa pihaknya tidak sewenang-wenangnya meluluskan kenderan yang tidak menepati skop dan piawaian pemeriksaan.- Bernama

Artikel lain:

'Tak sangka pergi pun bersama... ibu sebak cerita rutin harian anak-anaknya mengaji al-Quran'

Calon SPM derita kanser ovari rindu kembali ke sekolah

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi