Putrajaya -  Tema Hari Guru sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-49 pada tahun ini ialah 'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu.'

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata tema itu menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuwan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai tanda memperingati dan menghargai pengorbanan guru dalam mendidik, membimbing serta membentuk anak bangsa.

"Guru merupakan insan yang sentiasa dahagakan ilmu dan tidak jemu memperlengkap dirinya dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan nilai sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat ('lifelong learning')," katanya menerusi kenyataan media yang dihantar kepada GPS Bestari.

Menurutnya, dalam konteks berguru ilmu hendaklah diperoleh daripada seseorang yang mempunyai kepakaran atau kemahiran yang autentik serta berasaskan sumber yang betul, sahih dan berwibawa.

Murid perlu menginsafi bahawa tidak ada manusia yang mencapai kejayaan di dunia ini tanpa kehadiran insan bergelar guru.

"Guru juga insan yang banyak membentuk karakter dan keperibadian seseorang.

"Berguru merupakan suatu proses pembelajaran berterusan yang tiada berpenghujung, selagi mana seseorang itu masih menikmati kehidupan di dunia ini," katanya.

Katanya lagu, seseorang yang berguru dengan niat ikhlas untuk mendapatkan ilmu akan terus berusaha meningkatkan kefahaman terhadap ilmu tersebut dan berusaha meneroka bidang ilmu baharu.

Ini akan melahirkan lebih ramai ilmuwan yang mampu mencipta dan mereka produk serta perkhidmatan yang memberi impak tinggi kepada masyarakat dan negara.

Murid yang ada pada hari ini merupakan generasi pewaris masa hadapan negara.

Oleh hal demikian, adalah penting untuk guru menanam dalam jiwa muridnya akan kecintaan dan dahaga kepada ilmu.

Kecintaan mereka kepada ilmu akan melahirkan generasi baharu yang lebih gemilang dalam pelbagai aspek kehidupan.

Sehubungan itu, KPM yakin dengan tema 'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu' ini dapat memberi semangat baharu kepada guru serta murid dan seterusnya membentuk masyarakat yang menuntut ilmu dengan niat ikhlas agar ilmu mudah melekat dalam sanubari.

Artikel berkaitan:

Selamat datang Menteri Pendidikan baharu - Ini biodatanya

JPN Sabah kuatkuasa PBP atasi masalah pelajat tiada telefon pintar dan akses internet

Terpaksa panjat bukit, naik bot enam jam untuk dapatkan kerja sekolah

16 jawapan KPM mengenai pembukaan semula sekolah, persoalan berkaitan guru,  pentadbir sepanjang PKPB

Di mana ada cabaran, di situlah ruang untuk bina perubahan