PUTRAJAYA - "Cikgu perlu bersabar mendidik anak-anak murid sebagai ibu bapa kedua mereka di sekolah kerana apa yang kita semai, itulah yang akan kita tuai," demikian pesanan penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2020, Nor Hainei Abu Bakar.

Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan 3, Bandar Baru Bangi, Selangor itu berkata, walaupun ada sesetengah pihak mempersoalkan kononnya guru tidak menjalankan tugas seperti biasa berikutan wabak COVID-19, namun guru-guru perlu bersabar dan terus komited memberi pendidikan kepada anak didik.

"Walaupun masa kini sesi pembelajaran tidak diteruskan secara formal di bilik darjah, tetapi pembelajaran masih diteruskan, ini adalah hasil didikan dan ketekunan cikgu.

"Kita juga lihat sewaktu negara menghadapi wabak ini, ramai ibu bapa yang risau untuk menjaga dan membantu pelajaran anak-anak yang bukannya senang.

"Tapi cikgu pula, paling ramai boleh mengajar sehingga 50 anak murid yang mempunyai pelbagai ragam tetapi masih boleh bersabar untuk menjaga dan mendidik sebagai ibu bapa kedua mereka di sekolah," katanya ketika ditemui media.

Berkongsi pengalaman berkhidmat sebagai guru selama 36 tahun, Nor Hainei berasa terharu apabila ramai anak muridnya yang masih mengingati beliau.

"Bila bertemu anak murid yang telah berjaya seperti di pejabat imigresen dan hospital, mereka akan menyapa saya dan membantu mempermudahkan urusan saya, ini bagi saya adalah hasil apabila kita melaksanakan tugas dengan ikhlas,” katanya.

Muhyiddin (depan tengah) bersama Nor Hainei (depan kiri) dan Aminudin (depan dua, kiri) pada majlis ringkas sempena Sambutan Hari Guru di pejabatnya.

Pada masa yang sama Nor Hainei turut berpesan kepada guru supaya menerapkan elemen kolaborasi dan komunikasi yang baik bagi membolehkan pelajar dapat memberikan pandangan mereka secara terbuka.

"Sesuai dengan tema tahun ini, ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’, jadi guru perlu seiring dengan perubahan generasi baharu dengan memahami dan mahir dengan mata pelajaran yang diajar serta menyayangi anak murid dan mempunyai kemahiran kaunseling untuk mendekati mereka," katanya.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi) Aminudin Adam pula telah dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2020.

Bersyukur atas anugerah yang diterimanya, Aminudin berkata  beliau melihat tugas kepimpinan sektor pendidikan pada abad ke-21 makin mencabar kerana perlu menyediakan satu persekitaran yang kondusif di peringkat sekolah bagi melahirkan modal insan yang berkualiti.

"Dalam keadaan sekarang pembelajaran maya adalah sangat penting maka guru perlu dilengkapkan dengan kemahiran  penggunaan perkakasan teknologi terkini. Sebab itu kepimpinan pendidikan adalah untuk memastikan guru ini sentiasa diberikan pendedahan kepada metodologi  yang terkini," katanya.

Kedua-dua tokoh itu menerima anugerah itu daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2020.

Mereka menerima hadiah berupa wang bernilai RM50,000 dan sijil penghargaan. - Bernama

Muhyiddin beramah mesra dengan Aminudin (tiga dari kiri) dan Nor Hainei (kiri).

Muhyiddin (tengah) menyampaikan Anugerah Tokoh Guru 2020 kepada Nor Hainei (kiri) pada majlis ringkas Sempena Sambutan Hari Guru di pejabatnya hari ini. Turut hadir Menteri
Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Aminudin bersama sijil dan replika cek yang diterima setelah dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2020 sempena Sambutan Hari Guru.

 Nor Hainei bersama sijil dan replika cek yang diterima setelah dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2020 sempena Sambutan Hari Guru.

Artikel berkaitan:

Apabila bekas guru menjadi menteri, 16 tetap jadi tarikh keramat yang akan disambut

Norma baharu: Perlajar perlu diberi kebebasan untuk belajar ikut kemampuan mereka

Enam guru yang namanya disebut-sebut PM, guru Malaysia yang hebat

Pembelajaran maya adalah masa hadapan, PM rayu guru dalami kemahiran pengajaran atas talian

Ucapan PM sempena Hari Guru ibarat nasihat seorang ayah