PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memperkasakan dasar Zero Reject Policy bagi memastikan Murid Berkeperluan Khas (MBK), menerima pendidikan selari dengan ketidakupayaan mereka.

Ia sama ada ke sekolah-sekolah biasa melalui Program Pendidikan Inklusif, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Sekolah Pendidikan Khas (SPK) dari peringkat prasekolah, rendah, menengah dan lepasan menengah.

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Datuk Dr Yasmin Hussain berkata, kementerian kini giat memantapkan lagi dasar berkenaan bagi memastikan murid dan pelajar MBK tidak terpinggir dalam arus pendidikan perdana.

Menurutnya, ia juga selari dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013 yang menyatakan bahawa MBK perlu diberi peluang untuk mendapatkan akses kepada pendidikan yang sesuai dan relevan.

“Kita akan pastikan program pendidikan yang sesuai dengan mereka dan memastikan MBK yang berpotensi diberi peluang untuk ditempatkan secara inklusif di dalam kelas arus perdana selaras dengan prinsip pendidikan untuk semua,” katanya dalam wawancara khas bersama media di Kementerian Pendidikan, semalam.

Justeru katanya, langkah-langkah penambahbaikan akan dan telah diambil oleh Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan bagi merealisasikan matlamat berkenaan.

Menurutnya, antara langkah penambahbaikan itu adalah menyediakan semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan dengan kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) secara berperingkat bermula dengan Sekolah Pendidikan Khas dan Program Khas Integrasi.

Jelasnya lagi, setakat ini hanya 170 sekolah dilengkapi empat kemudahan mesra OKU yang terdiri daripada susur tangan, susur landai, tandas OKU dan parkir OKU.

Selain itu katanya, antara langkah lain adalah melaksanakan Program Pendidikan Inklusif Murid Berkeperluan Khas (Model Holistik) yang menyeluruh secara berperingkat pada tahun 2019 di peringkat sekolah rendah.

“Pada tahun ini kita telah mencapai 50.1 peratus penyertaan MBK di PPI secara penuh dan separa. Jadi kita menyasarkan penyertaan MBK di PPI sebanyak 75 peratus pada tahun 2025,” katanya.

Cabaran penambahbaikan

Dalam pada itu katanya antara lain, pihaknya turut melaksanakan Peningkatan Profesional Guru secara berterusan berdasarkan ketidakupayaan MBK bermula tahun 2019.

“Kursus ini melibatkan penyertaan daripada guru-guru arus perdana dan guru pendidikan khas dari peringkat prasekolah hinggalah menengah.

“Penekanan akan diberi dalam aspek pengurusan tingkah laku, pengurusan diri dan 3M (membaca, menulis dan mengira).

Sementara itu katanya, menyentuh mengenai cabaran yang dihadapi dalam menambah baik pelaksanaan ini, terdapat beberapa cabaran antaranya penerimaan warga sekolah termasuk pentadbir terhadap MBK.

“Selain itu fasilitis buat MBK juga menjadi antara cabarannya kerana kemudahan infrastruktur di sekolah terutama dari segi kemudahan mesra OKU perlu dilengkapkan juga.

“Ini termasuk kesediaan MBK sendiri dari segi pengurusan tingkah laku dan pengurusan diri seperti toilet training,” katanya.

2019 tahun istimewa MBK

Tahun hadapan menjadi salah satu tanggungjawab untuk melonjakkan lagi keistimewaan MBK apabila semua jenis ketidakupayaan daripada pelbagai aras boleh ditempatkan di sekolah.

Menurut Dr Yasmin, besar harapannya agar semua pihak memainkan peranan penting dalam melonjak potensi MBK sesuai dengan peredaran masa dan zaman.

“Kita mahu pastikan elemen love, happiness and mutual respect disemai dalam sesebuah institusi pendidikan.

“Jalinan kerjasama positif semua pihak terutamanya antara sekolah, ibu bapa atau penjaga MBK amat penting bagi mengoptimumkan potensi mereka,” katanya.

Jelasnya, ia juga selaras dengan anjakan 9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta dengan meluas yang menggariskan bahawa pembelajaran berlaku melangkaui kawasan sekolah dan boleh berlaku dalam kawasan rumah dan komuniti.