PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan pelantikan Dr Habibah Abdul Rahim sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) yang baharu berkuat kuasa pada 10 Januari 2020.

Dr Habibah menggantikan Datuk Dr Amin bin Senin yang telah bersara wajib pada 21 Disember 2019.

Dr Habibah, 58 tahun merupakan KPPM yang ke-17 dan merupakan wanita yang kedua menggalas jawatan sebagai KPPM.

Dr Habibah memulakan perkhidmatan dalam dunia pendidikan pada tahun 1986 sebagai seorang guru di beberapa buah sekolah di Selangor dan Kedah sebelum menyambung perkhidmatan di pelbagai organisasi di KPM.

Antara jawatan yang pernah disandang oleh Dr Habibah di KPM termasuk Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Pengarah Eksekutif Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) dan Pensyarah Kanan di Institut Aminuddin Baki (IAB).

Dr Habibah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Biologi dari University of Salford, United Kingdom pada tahun 1984.

Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Pendidikan di University of Bristol, United Kingdom pada tahun 1993.

Dr Habibah memperolehi ijazah Doktor Falsafah dalam bidang pendidikan dari Stanford University, Amerika Syarikat pada tahun 2001.

Kementerian dalam kenyataan hari ini mengatakan berbekalkan kepakaran, pengalaman dan pencapaian yang cemerlang, KPM yakin Dr Habibah mampu untuk terus meningkatkan lagi prestasi pendidikan negara selaras dengan hasrat yang diaspirasikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025.

"KPM turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Dr Amin Senin kerana khidmat bakti yang dicurahi beliau dalam bidang pendidikan semasa beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia," katanya.

Artikel lain:

Susulan pelajar meninggal dunia merentas desa, Dr Zubaidi gariskan tujuh panduan...

Mak ayah kena buat ini jika mahu anak Tahap Satu cemerlang Matematik tahun 2020

Kaji semula kasut hitam, KPM dapatkan pandangan sekolah