PUTRAJAYA - Menteri Pendidikan Dr Mohd radzi Md Jidin berhasrat mendalami dan memahami isu-isu berkaitan pendidikan sebelum membuat perancangan hala tuju kementeriannya dalam usaha memartabatkan sistem pendidikan negara.

Menteri kanan dalam Kabinet itu, yang memulakan tugas secara rasmi hari ini, akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai beberapa perkara yang perlu diberi perhatian segera.

"Perkara pertama yang saya akan lakukan ialah untuk memahami dan mendalami  konteks, situasi, isu serta perkara-perkara yang perlu ditangani dan prioriti yang mana yang kita ingin tekankan terlebih dahulu," katanya kepada media ketika melapor diri di kementerian itu di sini semalam.

Ketibaan Mohd radzi disambut Ketua Setiausaha KPM Datuk Dr Mohd Gazali Abas dan Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim.

Ditanya mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), tulisan jawi dan Program Sarapan Pagi, Mohd radzi berkata beliau memerlukan masa untuk memahami isu-isu tersebut.

"Izinkan saya tengok dulu dan lihat. Dalam keadaan pelbagai isu, apa yang penting kita pandang ke depan dan mencari apakah kaedah terbaik yang boleh kita lakukan untuk anak-anak kita," katanya.

Beliau sedar bahawa harapan rakyat cukup tinggi untuk melihat sistem pendidikan negara diangkat ke peringkat lebih tinggi dan KPM akan melakukan yang terbaik bagi memenuhi hasrat itu.

"Melihat generasi masa depan negara mempunyai kepakaran dan kebolehan dalam pelbagai aspek bukan saja pendidikan, (tetapi juga) dari segi sahsiahnya, pemikirannya, itu antara harapan ibu bapa," katanya.

Mohd radzi, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, melihat amanah besar diberikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepadanya selaku menteri kanan adalah untuk melihat pendidikan negara melonjak ke peringkat lebih tinggi.

Muhyiddin turut menamakan tiga menteri kanan lain ketika mengumumkan barisan Kabinetnya, merangkumi 31 menteri, bagi memastikan bahawa ia adalah sebuah Kabinet yang berfungsi serta mampu menyampaikan perkhidmatan lebih berfokus.- Bernama

Artikel lain:

RM105,000 untuk dimenangi, guru dan pelajar perlu rebut peluang ini

Senarai tumbuh-tumbuhan terancam yang perlu calon UPSR ingat - Baca perkongsian daripada Cikgu Safuan

Hasil bimbingan tiga guru hebat ini, pasukan inovasi SK Kampung Idaman menang emas peringkat dunia

'Walaupun gambar lama musnah akibat banjir tetapi galeri sekolah ini penuh kesan sejarah'

Dengari suara guru, jangan jadikan pelajar bahan eksperimen - Antara pesan guru ini kepada Dr Radzi