PUTRAJAYA - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menitiskan  air mata apabila menyuarakan kebimbangannya mengenai kemungkinan ada dalam kalangan pegawainya di Kementerian Pendidikan (KPM) yang tidak sehaluan dengan aspirasi yang mahu beliau tonjolkan.

Memetik laporan sebuah portal berita, beliau menggesa golongan pelaksana agar mengetepikan kepentingan peribadi kerana ketidaksepakatan hanya akan menjejaskan aspirasi kerajaan seterusnya masa depan pelajar di Malaysia.

“Tolong rakan sekerja saya dan kawan-kawan saya di Kementerian Pendidikan. Jangan sia-siakan anak-anak kita. Jangan pernah siasiakan negara kita.

“Sila letakkan kepentingan negara kita sebelum kepentingan peribadi kita,” katanya dalam ucapan penutup Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas di sini, Sabtu lalu.

Dalam masa sama, beliau mengakui tempoh lima tahun yang diberikan adalah terhad.

“Saya rasa waktu diberikan kepada kami terhad. Dalam tempoh lima tahun ini, kita perlu laksanakan. Persoalannya adakah mampu kita laksanakan?

“Kita sediakan pelbagai polisi tetapi di penghujungnya adalah pelaksanaan itu sendiri.

"Kalau hanya saya dan Timbalan Menteri serta kerajaan PH yang mempunyai impian tetapi di peringkat pelaksanaan tidak berkongsi impian yang serupa, kita akan lihat kegagalan di peringkat pelaksanaan,” katanya.

Dr Maszlee turut melahirkan kebimbangannya jika tidak dapat meninggalkan apa-apa jasa kepada masyarakat kerana masih banyak lagi perkara yang belum dijayakan beliau sejak memegang jawatan Menteri Pendidikan.

“Saya bimbang saya tidak boleh meninggalkan sesuatu untuk mereka dan untuk Malaysia semasa saya masih berkhidmat,” katanya.

Mengapa Dr Maszlee menangis?

1. Di sebalik ribuan penyertaan termasuk 11 delegasi pembentang dari luar negara, realiti di luar sangat berbeza. Terlalu banyak urusan yang belum selesai mengenai orang kurang upaya (OKU) terutama yang berkaitan dengan sekolah dan institusi pengajian tinggi.

2. Di sebalik tahap penganjuran yang kelihatan begitu gah, realitinya Bahagian Pendidikan Khas di KPM masih banyak perlu dibaik pulih.

3.  Tahap kesediaan dan kemahuan pegawai yang perlu bergerak lebih laju dengan reformasi tersebut.

4. Lagu 'Imagine' yang dinyanyikan sangat menyentuh perasaan.

SUMBER: Facebook Dr Maszlee Malik