PUTRAJAYA - Semua guru opsyen Bahasa Inggeris di bawah Kementerian Pendidikan perlu menduduki Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) untuk mengetahui tahap penguasaan Bahasa Inggeris mereka.

"Ini penting bagi memastikan murid dididik oleh guru Bahasa Inggeris yang mempunyai tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang tinggi untuk meningkatkan standard pendidikan Bahasa Inggeris negara," menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, Jumaat lalu.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dilaporkan mahu Kementerian Pendidikan mempertimbangkan semula arahan supaya guru yang mengajar Bahasa Inggeris menduduki peperiksaaan MUET.

Kementerian Pendidikan berkata langkah itu selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan English Language Education Reform in Malaysia:The Roadmap(2015-2025) untuk mereformasikan pendidikan Bahasa Inggeris di negara ini ke arah yang lebih sistematik.

Di bawah PPPM 2013-2025, semua guru yang mengajar Bahasa Inggeris perlu berada pada tahap penguasaan Proficient User iaitu tahap minimum C1 berlandaskan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR), kata kenyataan itu.

Kementerian Pendidikan berkata ia juga telah menyediakan latihan dan bahan pembelajaran kendiri dalam talian untuk membantu guru opsyen Bahasa Inggeris meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris mereka.

 "Kementerian sentiasa memberi perhatian untuk menangani masalah kekurangan guru Bahasa Inggeris dan pada masa yang sama tidak akan membebankan para guru," katanya.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berasingan berkata keputusan tawaran tambahan ke Program Matrikulasi KPM Sesi 2019/2020 yang diumumkan bermula pada 12 tengah hari Jumaat lalu (10 Mei).

Pelajar yang telah memohon boleh menyemak keputusan dengan melayari laman sesawang Kementerian Pendidikan www.moe.gov.my - Bernama

Artikel lain:

Cikgu cantik ini guna kaedah 'digital classroom' tarik perhatian pelajar

Enam guru ini terima bantuan YGMB pada Festival Guru Malaysia 2019

Kenyataan sebenar mengenai keperluan guru bukan opsyen Bahasa Inggeris ambil MUET