PUTRAJAYA - Ibu bapa tidak sepatutnya menjadikan sekolah agama khususnya pusat tahfiz sebagai tempat untuk melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak dalam bidang agama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Memahami kekangan akibat sibuk bekerja antara punca kecenderungan itu, Mujahid bagaimanapun berkata teras pendidikan anak-anak bukan hanya terletak kepada guru, tetapi bermula dengan ibu bapa yang boleh dijadikan contoh yang dikagumi oleh anak-anak.

"Tak payah hantar anak kita kepada ustaz atau ustazah untuk belajar solat, kita ajar sendiri di rumah, kita tak perlu suruh anak kita hafal doa di sekolah sahaja, ibu bapa ambil inisiatif ajar sendiri.

"Sentuhan ibu bapa tak sama dengan sentuhan guru," katanya semasa merasmikan sekolah Integrasi Rendah Agama Jabatan Agama Islam  Wilayah Persekutuan (Jawi), Siraj Abdullah Ibn Mas'ud di Presint 11, di sini hari ini.

Siraj Abdullah Ibnu Mas’ud merupakan sekolah Integrasi Rendah Agama (Jawi) yang kelima, selepas empat Siraj ditubuhkan di Kuala Lumpur.

Mujahid berkata penubuhan sekolah-sekolah agama swasta dan pusat-pusat tahfiz yang umpama cendawan tumbuh selepas hujan ketika ini adalah disebabkan oleh trend berkenaan.

"Ada juga ibu bapa yang cari sekolah kalau boleh anak dia tak balik rumah, selesai masalah. Dengan harapan balik hujung minggu ambil, selepas itu cepatlah tunggu hari Isnin nak hantar anak itu balik (ke sekolah)," katanya.

Mujahid berkata oleh kerana permintaan tinggi untuk pendidikan Islam dan tahfiz, ada pihak mengambil kesempatan hanya untuk mendapatkan untung menubuhkan pusat tahfiz berbanding tanggungjawab mengisi kurikulum sekolah dengan baik.

Untuk itu, katanya Majlis Tahfiz Negara yang dijangka ditubuhkan tahun depan akan memastikan kualiti, akreditasi, guru-guru dan kurikulum di sekolah-sekolah agama khususnya tahfiz di seluruh negara mengikut standard kurikulum arus perdana.

Mengenai Siraj Abdullah Ibnu Mas’ud, Mujahid berkata setakat ini ia menerima lebih 700 permohonan, namun hanya 111 murid tahun satu dipilih bagi pengambilan pertama tahun depan.

Katanya sekolah yang dibina dengan pembiayaan sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan berjumlah RM5.4 juta itu mempunyai 24 bilik darjah di dalam bangunan setinggi empat tingkat. - Bernama

Artikel Menarik:

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

I Force hasil inovasi guru Fizik ini menang pelbagai anugerah buatkan subjek Fizik semudah 1,2,3

‘Biarpun terpaksa duduk bawah meja, kami tetap mahu ke sekolah,’- Situasi pilu pelajar bikin sebak