PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan keperluan barangan persekolahan akan dijual dengan harga berpatutan di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan persatuan peruncit mengenai harga pasaran bagi item keperluan persekolahan.

"Mereka beri jaminan akan ikut membantu hasrat kerajaan untuk tidak menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup dengan cara tidak membebankan pengguna," katanya selepas menghadiri program bicara makan tengah hari - ‘Media dan Kepenggunaan: Perspektif Negara’ di sini, semalam.

Saifuddin berkata, jaminan yang pertama adalah jaminan bekalan keperluan persekolahan itu cukup di pasaran.

"Yang kedua, jaminan untuk harga setiap item dijual pada harga munasabah dan berpatutan. Langkah seterusnya adalah penguat kuasa KPDNHEP akan membuat pemantauan dari masa ke masa.

"Sebolehnya kita tidak mahu mengganggu urusan perniagaan mereka, tapi jika kepentingan pengguna terjejas, kami tidak ada pilihan lain, penguatkuasaan akan dilaksanakan," katanya.

Sesi persekolahan 2019 akan bermula pada 2 Januari 2019 serentak di seluruh negara.