Sepang - Berikutan laporan seramai 18 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pantai Sepang Putra di sini dijangkiti Influenza B, Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang telah mengarahkan tiada aktiviti perhimpunan dilakukan dalam masa terdekat di sekolah berkenaan.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata, KPM turut meminta ibu bapa atau penjaga memberi laporan segera kepada pihak sekolah sekiranya murid di bawah jagaan mereka terkena wabak tersebut.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada GPS Bestari.com semalam.

Katanya lagi, KPM turut menggalakkan murid-murid disekolah berkenaan, terutamanya yang mengalami masalah kesihatan seperti selesema dan batuk memakai 'nasal mask' (penutup hidung dan mulut) agar tidak berjangkit dengan murid-murid lain.

"PPD Sepang dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor telah diminta untuk memantau kes ini dan membantu mangsa yang terlibat dari aspek kebajikan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedia ada," katanya.

Sehubungan itu, KPM akan terus memantau kes-kes jangkitan Influenza yang membabitkan murid.

Kesemua sekolah di seluruh negara juga telah diminta supaya mengikut arahan dan syor yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan.

Bagaimanapun buat masa ini tidak ada keperluan untuk menutup mana-mana sekolah.

KPM sekali lagi memberi jaminan akan memantau perkembangan demi kebajikan murid dan guru.

Artikel menarik:

Kereta terbabas, besi penghadang jalan menerobos kereta - Ramai ingat Cikgu Mat dan Cikgu Wan maut

Dua lepasan SPM ini terkejut subjek Gagal, rupa-rupanya A setelah semakan semula dibuat

'Spoting' betul cikgu SK Nong Chik ni... seronoklah murid tengok cikgu mereka dah bertukar karakter

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan... Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku

Mulai tahun ini, kertas Bahasa Inggeris PT3 dijajarkan kepada CEFR