PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  melancarkan kad orang kurang upaya (OKU) baharu bagi Subkategori Pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9(2) di sini, semalam.

Menurut beliau, kad itu dikeluarkan khusus mengikut enam subkategori di bawah OKU pembelajaran iaitu global 'development delay', 'sindrom down', 'attention deficit hyperactivity disorder', autisme, intelektual dan'specific learning disability'.

"Pengkhususan itu memudahkan kanak-kanak dengan masalah tersebut dikenal pasti oleh guru untuk dipadankan dengan kaedah pembelajaran yang sesuai," katanya.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai langkah untuk menggalakkan ibu bapa memberi vaksin kepada anak mereka.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan menggalakkan pemberian suntikan imunisasi kepada kanak-kanak walaupun buat masa ini, tiada  peraturan yang mewajibkan ibu bapa berbuat demikian.

"Itu pilihan ibu bapa, namun kita mengesyorkan lindungilah anak-anak dengan vaksin sebelum penyakit itu terkena," katanya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian apabila ditanya pemberita mengenai kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bahawa vaksin dan hak kepada pendidikan adalah isu berbeza.

Ia susulan cadangan sesetengah pihak supaya kanak-kanak yang tidak mendapat suntikan imunisasi dilarang ke sekolah.

Dr Wan Azizah berkata, gerakan antivaksin timbul berikutan kebimbangan ibu bapa terhadap masalah berteraskan anekdot yang mengaitkan vaksin dengan autisme walaupun terdapat bukti bahawa vaksin bertujuan mencegah penyakit.

Dr Wan Azizah menyampaikan Kad OKU Baharu kepada pelajar OKU Naimee Reyhana Norazmee, 9, yang menghidap autisme  Pendidikan Inklusif di SK Presint 9 (2). Turut sama Nie Ching dan Hannah.

Dr Wan Azizah bersama pelajar pendidikan khas ketika melawat Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Pendidikan Inklusif di SK Presint 9(2).
Turut sama Nie Ching dan Hannah.