PUTRAJAYA - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Beijing Jiatong University (BJTU) China menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi jalinan kerjasama dalam Program Dual Ijazah UMP-BJTU.

Pemeteraian kerjasama itu membabitkan bidang kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrik yang bakal menyumbang kepada pembangunan industri rel negara.

Majlis menandatangani MoA itu disempurnakan Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts Dr Mohd Rosli Hainin yang mewakili UMP manakala BJTU diwakili oleh Presidennya, Profesor Dr Wang Jiaqiong dan Timbalan Presiden (Antarabangsa), Prof Dr Guan Zhongliang yang hadir secara dalam talian.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Husaini Omar dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Menurut Dr Wan Azhar, kepakaran dan pengalaman UMP serta Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dalam bidang teknikal begitu relevan dalam menyumbang terhadap kelancaran dan kebolehcapaian matlamat bagi merealisasikan program berkenaan.

“Program dual Ijazah ini akan membuka lembaran sejarah di antara UMP dan BJTU bagi mengeratkan hubungan kerjasama strategik sekali gus membuka peluang yang lebih luas dalam bidang penyelidikan dan pembangunan akademik kedua-dua universiti,” katanya dalam majlis yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia pada masa kini memerlukan lebih banyak tenaga pakar dan berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi, malahan pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga dilihat akan memberi lonjakan terhadap sistem pendidikan negara.

"Sehubungan itu, UMP telah dilantik sebagai Universiti Fokal bagi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL yang menjadi peneraju Program Latihan kemahiran Industri ECRL hasil rundingan kerjasama pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Malaysia Rail Link (MRL) dan Syarikat Komunikasi dan Pembinaan China (CCCC) sejak tahun 2017.

"Ia membabitkan program latihan seperti pengambilan dan pendaftaran peserta, pembangunan silibus, latihan profesional dan latihan industri, penyediaan tenaga pengajar, kemudahan latihan, penyelidikan dan pembangunan serta turut menyokong agenda kebolehpasaran graduan institusi pendidikan tinggi (IPT)," kata beliau.

Artikel menarik

Bentang aplikasi mudah alih 'Go English Writing' di Turki, dua guru KV Keningau bukti kemampuan diri

6 tip sahur ini bantu kekal bertenaga sepanjang hari, guru dan pelajar boleh cuba nanti