PUTRAJAYA - Teknologi Pembinaan Volumetrik Prafabrikasi Prasiap (PPVC) dipertimbang untuk digunakan bagi projek pembinaan bangunan sekolah tambahan selepas terbukti sesuai, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, teknologi sistem binaan PPVC telah diguna pakai dalam pembangunan 35 bilik darjah tambahan di lima sekolah di Putrajaya iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 5 (1), SK Presint 9 (2), SK Presint 14 (1), SK Presint 17 (1) dan SK Presint 18 (1).

"Ini merupakan projek pertama yang menggunakan teknologi ini (PPVC) dan kita akan lihat keberkesanan serta kualiti. Kemungkinan boleh diperluas ke seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas melawat bilik darjah tambahan di SK Presint 18 (1), di sini hari ini.

Memperincikan mengenai PPVC, Radzi berkata struktur bilik darjah dilengkapi lampu dan kipas dipasang di kilang sebelum dibawa ke sekolah untuk ditempatkan di kawasan yang telah ditentukan sebagai bilik darjah tambahan.

Projek tambahan bilik darjah di lima sekolah itu bermula pada November lepas dan siap sepenuhnya 16 Mac lalu.

Menjelang permulaan sesi persekolahan sepenuhnya secara bersemuka bagi pelajar sekolah menengah April bulan depan, Radzi berkata aspek penyuraian murid diberi penekanan agar prosedur operasi standard (SOP) di sekolah dipatuhi.

"Aspek tambah baik SOP ini juga membabitkan kerjasama ibu bapa agar segalanya lancar,” katanya.

Kerajaan mengumumkan pelajar sekolah menengah akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) pada 5 April. - BERNAMA

Artikel menarik

Guru SK Lukut sanggup berhabis ribuan ringgit beli peralatan ICT untuk sesi PdPc

Kerajaan realisasi 11 agenda mahasiswa yang diperjuangkan MPPK