PUTRAJAYA - Siasatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)  mendapati rakaman klip video murid menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku dalam Bahasa Mandarin yang tular di laman media sosial, berlaku semasa pengajaran dan  pembelajaran (PdP) di bilik darjah, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin.

Penggunaan Bahasa Mandarin ketika menyanyikan Negaraku semasa PdP itu bertujuan memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab semasa menyanyikan lagu kebangsaan oleh rakyat negara ini , katanya dalam satu kenyataan Jumaat lalu setelah kementerian menyiasat dan mendapatkan penjelasan daripada sebuah sekolah di Negeri Sembilan  mengenai rakaman klip video itu.

"Ia tidak dilakukan semasa mana-mana acara rasmi di sekolah berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, Amin berkata kementerian mengingatkan semua sekolah agar sentiasa menggunakan kebijaksanaan dalam melaksanakan perkara-perkara asas terhadap lambang-lambang negara termasuk lagu Negaraku dalam PdP agar tidak disalah anggap oleh mana-mana pihak.

Katanya KPM turut menegaskan, lagu kebangsaan Negaraku tidak boleh diubah atau dipinda dalam apa-apa bentuk sekali pun semasa melaksanakannya dalam mana-mana acara rasmi sekolah dan hendaklah mematuhi Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Video berdurasi satu minit 23 saat yang menunjukkan murid menyanyikan lagu Negaraku dalam Bahasa Mandarin itu didakwa dirakam pada 26 September 2018 di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan. - Bernama

Artikel Lain:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Pakej mata pelajaran tingkatan 4 tahun hadapan yang perlu guru tahu... pelajar mudah faham

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya

Berlatih hanya dua minggu, tak sangka pasukan sekolah ini bolot emas semua kategori di Spain