PUTRAJAYA - Merujuk kepada laporan Dayakdaily.com bertarikh 24 Jun 2019 dengan tajuk 'Here’s the reason why 113 schools in Sarawak are still not connected to power grid’; adalah tidak benar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak bertindak mengenai perkara tersebut.

Sebanyak 113 sekolah tersebut adalah sebahagian daripada 369 sekolah yang bekalan elektriknya di bawah kendalian Jepak Holdings Sdn.Bhd. (JHSB).

Persetujuan dengan JHSB telah dicapai bagi membolehkan sekolah-sekolah berdekatan dengan grid dibuat penyambungan ke bekalan elektrik awam. Perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sarawak juga telah dibuat untuk membantu sekolah-sekolah berkenaan disambung ke grid.

Penyambungan ke bekalan elektrik awam boleh dilakukan sebaik perkara-perkara berbangkit dimuktamadkan oleh kesemua pihak yang berkepentingan. Sehingga kini perkara tersebut dalam penelitian.

KPM juga sedang menyediakan pelan perancangan bagi baki sekolah yang masih belum menerima bekalan elektrik awam dan akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak bagi tujuan tersebut.

Kementerian sentiasa prihatin terhadap kebajikan murid dan guru di negeri Sarawak. KPM sentiasa mengambil tindakan proaktif dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan.