Seramai 22 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya yang juga pegawai perhubungan sekolah di 11 sekolah menengah di sini, digembleng bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata seorang pegawai berpangkat inspektor dan seorang anggota berpangkat sarjan masing-masing akan berada di setiap premis sekolah sepanjang waktu sesi persekolahan dari 7.30 pagi hingga 2 petang pada setiap hari Isnin sepanjang PKPP itu.

Berbanding sebelum ini, mereka hanya melawat sekolah dua kali sebulan bagi tujuan memantau keselamatan dan jenayah di sekolah, katanya.

 "Mereka berperanan memantau pematuhan SOP dan menasihati warga sekolah untuk penambahbaikan di mana-mana bahagian yang dirasakan perlu," katanya kepada media selepas melakukan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1) di sini hari ini.

Mohd Fadzil berkata buat masa ini tiada laporan diterima tentang pelanggaran SOP di sekolah dan beliau berpuas hati dengan pematuhan SOP yang dilihatnya ketika melakukan lawatan ke sekolah.   

Sesi persekolahan melibatkan pelajar yang mengambil peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara, dimulakan semula hari ini.

Dalam tinjauan Bernama berhubung SOP di SMK Putrajaya Presint 8(1) itu, dilihat guru mengambil suhu pelajar ketika mereka di dalam kereta di kawasan foyer sekolah bagi memastikan hanya yang sihat dibenarkan masuk ke kelas manakala yang bergejala, ibu bapa dan penjaga akan diminta membawa anak mereka balik.

Bagi pelajar yang menaiki bas, mereka akan berjalan kaki kira-kira 50 meter dari tempat turun bas untuk ke foyer bagi diambil suhu. Sekiranya suhu melebihi 37.5, mereka akan diminta berehat di satu kawasan untuk diambil bacaan kali kedua dan jika masih tinggi, mereka akan dimasukkan ke bilik isolasi sehingga ibu bapa dan penjaga mengambil mereka pulang.- BERNAMA