PUTRAJAYA - Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang merangkumi empat komponen termasuk keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah lebih holistik dalam menyediakan modal insan yang cemerlang di masa hadapan.

Pendapat tersebut dikongsi  ibu bapa yang ditemui ketika menemani anak-anak mereka mengambil keputusan PPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 14 (1) di sini hari ini.

Selain UPSR, tiga komponen lain diambil kira dalam PPSR adalah pentaksiran bilik darjah, pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta pentaksiran psikometrik.

Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Putrajaya Presint 14 (1) Nor Aishah Ariffin berkata pelaksanaan pentaksiran yang tidak lagi fokus kepada bidang akademik itu secara tidak langsung dapat menarik kerjasama ibu bapa dan guru untuk bekerjasama ke arah menzahirkan kemenjadian murid.

Menjadikan pembentukan sahsiah murid sebagai contoh, beliau berkata tugas tersebut sebenarnya bermula dari rumah lagi, bukannya terhad kepada guru semata-mata.

"Ia berbeza dengan sistem berteraskan peperiksaan sepenuhnya yang dipraktikkan sebelum ini,  kebanyakan waris menyerahkan tanggungjawab tersebut sepenuhnya kepada sekolah. Komponen PPSR perlu melibatkan kerjasama ibu bapa dan guru dalam membentuk kejayaan murid," katanya.

Bagi Norasma Ariffin, 42, PPSR satu kaedah lebih holistik dalam menyediakan murid dengan pelbagai ilmu kehidupan selain akademik, satu tuntutan ke arah murid yang tidak bersifat individual di masa depan.

Beliau berkata kecemerlangan murid secara keseluruhan juga merupakan antara elemen penting dalam pemilihan ke peringkat pengajian lebih tinggi seperti ke sekolah berasrama penuh atau institusi pendidikan lain.

"PPSR juga mendorong murid yang cemerlang dalam aktiviti luar bilik darjah 'berdiri sama tinggi' atau tidak merasa rendah diri kepada murid cemerlang dalam akademik, yang majoritinya tidak begitu aktif dalam bidang sukan atau aktiviti lain selain akademik," katanya.

Mohd Shihabuddin Mukhtar, 38, pula berpendapat PPSR membuktikan Malaysia tidak jauh berbanding negara lain yang pendekatannya serta penilaian pendidikan tidak lagi tertumpu pada pencapaian bidang akademik semata-mata.

​​​​"Saya amat bersetuju dengan langkah yang diambil Kementerian Pendidikan kerana  untuk menjadi insan yang cemerlang, seseorang itu mesti menguasai semua bidang tersebut dan pelaksanaan PPSR menjadi langkah awal paling baik dalam menyediakan insan cemerlang di masa hadapan," katanya yang turut berkongsi kegembiraan anak lelakinya memperoleh 6A dalam UPSR.

Pegawai perubatan, Noorlaily Syakimah Saidi, 39, berkata PPSR memberi peluang sama rata kepada pelajar untuk menampilkan keupayaan masing-masing, khususnya pelajar yang aktif dan cemerlang dalam bidang sukan.

Beliau berkata melalui PPSR, ibu bapa berpeluang mengenali dan mengetahui potensi anak-anak, sekali gus membolehkan penambahbaikan terhadap rancangan akademik dapat dilakukan hasil laporan menyeluruh pelaporan PPSR.

Terdahulu, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin semasa membentangkan laporan PPSR mengumumkan PPSR, yang menilai kemenjadian murid melalui empat komponen, menunjukkan pencapaian murid tahun enam pada 2017 secara keseluruhannya baik tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan. - Bernama