Semua prasekolah dan tabika akan dibuka kembali bermula 1 Julai ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, cadangan pembukaan semula institusi tersebut berserta prosedur operasi standard (SOP) berkaitan telah dibentangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada mesyuarat khas semalam.

Menurutnya, keputusan itu membabitkan sebanyak 6,216 prasekolah di bawah KPM, prasekolah swasta (7,887) dan 1,781 tabika di bawah Kementerian Perpaduan Negara serta 8,530 tabika kelolaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“SOP terperinci mengenai pembukaan semula institusi berkenaan akan diumumkan KPM dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP) di sini semalam.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat khas semalam juga turut bersetuju membenarkan semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan beroperasi semula kecuali premis di zon merah.

Menurutnya, SOP yang ditetapkan ialah satu per tiga daripada kapasiti masjid dan surau serta perlu merekodkan kehadiran jemaah, selain memeriksa suhu badan sebelum dibenarkan masuk.

“Masjid dan surau di negeri lain pula tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

“Mesyuarat hari ini (semalam) turut bersetuju membenarkan 5,230 rumah ibadat bukan Islam di seluruh Malaysia beroperasi semula berbanding 171 sebelum ini.

“Rumah ibadat bukan Islam dibenarkan beroperasi pada hari dan masa seperti biasa dengan kehadiran satu per tiga daripada jumlah sebenar tertakluk kepada keluasan tempat berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tertakluk kepada kebenaran kerajaan negeri masing-masing yang turut diberi kebebasan mengubah suai SOP.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, perbincangan juga melibatkan pembentangan oleh Kementerian Pelanco-ngan, Seni dan Budaya berkenaan SOP subsektor pelancongan seperti spa dan pusat urut kaki, ‘mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran‘ (MICE) serta pameran perdagangan dan pelancongan dalam negeri.

“Mesyuarat hari ini (semalam) pada dasarnya tidak mempunyai halangan terhadap cadangan SOP tersebut, namun perkara itu akan dibawa pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara untuk kelulusan,” katanya.- Bernama