PUTRAJAYA - Murid yang mendapatkan keputusan memuaskan dan aktif dalam aktivti luar kelas serta mempunyai psikometrik yang kuat lebih berpeluang untuk memasuki MRSM atau sekolah berasrama penuh (SBP).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, kemenjadian murid bukan lagi difokuskan kepada gred purata yang dijana daripada keputusan UPSR tetapi dilihat secara lebih menyeluruh melalui Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR).

“Murid yang mendapat 6A UPSR belum tentu diterima masuk ke MRSM atau SBP kerana KPM fokuskan dari segi kecerdasan semula jadi dan aptitud, tahap penguasaan dalam mata pelajaran di sekolah serta kecerdasan,” katanya.

Menurut beliau, tahun ini Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk mengambil pendekatan  berbeza dalam melaporkan kejayaan murid yang telah melalui persekolahan peringkat rendah selama enam tahun.

“UPSR merupakan salah satu ukuran yang menujukkan pencapaian murid dalam mata pelajaran akademik dan indikator kejayaan yang ditunggu-tunggu oleh murid, ibu bapa dan pelbagai pihak lain.

“Tapi tahun ini keberhasilan utama pendidikan dilihat merangkumi UPSR, pentaksiran bilik darjah, aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum, sertai psikometrik,” katanya.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) merangkumi tiga aktiviti utama yang terdiri daripada kelab persatuan, pasukan badan beruniform dan sukan dan ia dilakukan dua atau tiga hari dalam seminggu.

Manakala Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (Segak) juga merupakan aktiviti kesihatan yang dilakukan di setiap sekolah dengan tujuan mendapat maklumat mengenai pengetahuan dan amalan aktiviti kecergasan

“Ini untuk meningkatkan dan mengekalkan tahap kecergasan fizikal berdasarkan kesihatan yang optimum,” katanya.

Pentaksiran Psikometrik merupakan kaedah sistematik yang digunakan untuk mengumpul maklumat yang dapat menggambarkan ciri, atribut atau tret psikologi seseorang sama ada domain kognitif atau afektif.

“Psikometrik juga akan dinilai dan difokuskan kepada murid yang mempunyai kekuatan mental sebelum memasuki SBP atau MRSM”, katanya.