KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan menutup sekolah sekiranya terdapat kes positif koronavirus (Covid-19) dalam kalangan pelajar dan kakitangannya.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, tindakan itu merupakan salah satu prosedur operasi standard (SOP) kementerian dalam mendepani pandemik tersebut.

“Saya percaya sekiranya ia berlaku, sekolah akan ditutup buat sementara waktu.

“KKM akan menjalankan pengesanan aktif bagi mengesan kontak rapat yang terlibat.

“Yang positif Covid-19 sudah tentu kita asingkan dan merawatnya di hospital,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Terdahulu Dr Noor Azmi meluangkan masa hampir sejam bagi meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11 (1) di sini.

Dr Noor Azmi berkata, beliau berpuas hati dengan SOP yang dijalankan oleh kakitangan sekolah terbabit.

“Saya sangat berpuas hati kerana pihak sekolah telah mengambil tindakan dua minggu lalu sebelum sekolah dibuka hari ini (semalam),” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan SOP terus dipatuhi, KKM bersama polis dan Kementerian Pendidikan akan melakukan pemeriksaan mengejut di sekolah.

Menurutnya, KKM akan menyemak semula SOP yang dijalankan sepanjang tiga hari pertama persekolahan dibuka bermula semalam.

“Pada Sabtu dan Ahad ini kita akan melihat kembali SOP yang digunakan ini sama ‘okay’ atau tidak ataupun perlu pertingkatkan,” katanya.

Artikel menarik:

Pembukaan sekolah rendah...KPM masih belum buat keputusan

Perubahan Cuti Takwim Penggal 2020...ini penjelasan Timbalan Menteri Pendidikan 1

PM tinjau pembukaan sekolah, pelajar luah perasaan setelah dapat kembali ke sekolah

Pelajar teruja kembali ke sekolah, setelah tiga bulan sekolah diarah tutup