PUTRAJAYA - Semua sekolah dalam daerah Pasir Gudang yang ditutup berikutan pencemaran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim baru-baru ini, akan dibuka semula mulai Ahad, 31 Mac.

Timbalan Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan menerusi kenyataan media berkata, kerja-kerja pembersihan sekolah akan dilakukan oleh pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK), agensi-agensi kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta tempatan.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan tersebut akan dilakukan tanpa melibatkan murid mengikut kesesuaian pihak sekolah sebelum sekolah dibuka, dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan.

Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Bagi Menangani Pembuangan Sisa Bahan Kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada 19 Mac telah memutuskan menghentikan Ops Sungai Kim Kim, menutup Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan kejadian bencana menunjukkan perubahan semakin positif serta sudah hampir pulih sepenuhnya.