PUTRAJAYA - Bagi menggalakkan mahasiswa dan universiti membantu menambah baik fasiliti dan pembangunan akademik sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukan RM2 juta bagi pelaksanaan program Sekolahku Universitiku.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk  aktiviti pada tahun 2019 manakala baki RM1.5 juta bagi tahun 2020.

Perkara itu dinyatakan sendiri,  Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika merasmikan Program  Sekolahku Universitiku di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pantai, Kuala Lumpur 22 Oktober lalu.

Majlis Pelancaran Program Sekolahku Universitiku dianjurkan  Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA), Universiti  Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaya (UM) dan SK Bukit Pantai dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan KPM.

Sekolahku Universitiku adalah salah satu usaha menggalakkan  mahasiswa dan universiti membantu menambah baik fasiliti dan pembangunan akademik di sekolah-sekolah yang terpilih mengikut bidang dan keupayaan masing-masing.

Program itu bukan sahaja dapat memberi peluang kepada pelajar  sekolah menikmati pembangunan,  bahkan satu usaha untuk meningkatkan hubungan antara

universiti dengan masyarakat.

Sekolahku Universitiku melibatkan penyertaan 20 Universiti  Awam, empat universiti berkaitan  kerajaan (GLU) dan 43 buah sekolah terpilih di seluruh negara.

Biarpun berhadapan dengan  beberapa faktor kritikal seperti jadual persekolahan yang tidak  sama dengan jadual universiti dan kekangan masa mahasiswa yang terhad serta sibuk dengan tugasan dan peperiksaan, namun terbukti bahawa sukarelawan mahasiswa ini dapat menguruskan dan menjalankan program Sekolahku Universitiku ini dengan jayanya.

Dr Maszlee Malik merasmikan pusat sumber SK Bukit Pantai, Bangsar, disaksikan oleh Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal (tengah) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas (kiri).

 

Sebanyak 14 universiti awam telah pun mula menjalankan program Sekolahku Universitiku  pada tahun ini.

Malah, menerusi program tersebut juga, KPM berjaya  menarik 1,761 orang sukarelawan pada tahun ini berbanding sasaran asal seramai 200 orang sahaja.

Menerusi program perkongsian pintar, KPM  memerlukan komitmen dan kerjasama mahasiswa daripada UA dan GLU untuk melaksanakan progra m berbentuk

kesukarelawanan, pemulihan dan penambahbaikan, keceriaan, pembangunan karakter dan aktiviti lain di 43 buah sekolah terpilih.

Sekolah yang dipilih merupakan sekolah yang  dikategorikan pada skala empat  dan lima berdasarkan laporan kategori sekolah oleh Bahagian Perancangan dan  Penyelidikan Dasar (EPRD).

Menurut KPM, program Sekolahku Universitiku akan  dijalankan secara berperingkat  bermula tahun ini sehingga tahun 2020.

"Pelaksanaan program ini  memberi tumpuan kepada dua skop utama, iaitu Komponen  Pembangunan Karakter dan Insaniah serta Komponen Penambahbaikan Infrastruktur Sekolah.

"Komponen Pembangunan Karakter dan Insaniah melibatkan perancangan program seperti  pembangunan modul yang  bersesuaian untuk membentuk serta meneguh pembangunan karakter selain insaniah pelajar sekolah," katanya.

Mahasiswa IPT akan digerakkan sebagai mentor untuk  melaksanakan aktiviti berbentuk  akademik, motivasi, sahsiah, kepimpinan, inovasi dan program lain melalui medium seperti bengkel, kelas, kursus, dan klinik kepada pelajar sekolah yang terlibat.

Selain itu, komponen Penambahbaikan Infrastruktur Sekolah pula melibatkan peranan IPT dan industri menyumbang untuk melaksanakan baik pulih infrastruktur serta prasarana sekolah kategori lima dan ke bawah.

"Ini dilakukan agar pelajar berada dalam suasana  pembelajaran yang lebih selesa," katanya.

Walau bagaimanapun, proses tersebut bergantung kepada perkhidmatan serta kepakaran teknologi dan pembinaan yang ada pada IPT serta peruntukan.

Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan adalah baik pulih  kelas seperti pendawaian elektrik, pembinaan, pemuliharaan ringkas bangunan darjah, mengecat bangunan sekolah, menambahbaik fasiliti sedia ada, menaiktaraf landskap dan sebagainya.

Pun begitu, kepakaran dan  kemahiran pensyarah, kaki tangan dan mahasiswa IPT akan  digembleng bagi merealisasikan projek baik pulih yang bersesuaian di sekolah yang terpilih.

Artikel Lain:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Pakej mata pelajaran menengah atas mulai tahun 2020

Pakej mata pelajaran tingkatan 4 tahun hadapan yang perlu guru tahu... pelajar mudah faham