PUTRAJAYA - Kreativiti persembahan gabungan manusia dan boneka bagi menerangkan Hukum Newton Ketiga membawa tuah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak, Kuching, Sarawak apabila dinobatkan sebagai johan keseluruhan pertandingan Petrosains Science Show 2016 peringkat kebangsaan yang berlangsung di sini semalam.

Kejayaan itu menyaksikan pasukan yang diwakili Joekryno Joni, 19, dan Santa Senthia Saka, 19, membolot hadiah utama iaitu lawatan ke Muzium Sains Scitech di Perth, Australia bernilai RM20,000 yang ditanggung sepenuhnya oleh Petrosains selaku penganjur utama pertandingan.

Pasangan yang akan menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada November ini turut memenangi pingat emas yang melayakkan membawa pulang wang tunai berjumlah RM7,000 beserta plak, sijil dan barangan Petrosains.

Majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan itu turut dihadiri Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim.

SMK Tun Abdul Razak menyampaikan 'Newton's Third Law'

 

SMK Tun Abdul Razak

 

Selain SMK Tun Abdul Razak, dua sekolah lain turut meraih pingat emas dalam pertandingan itu iaitu SMK Tamparuli, Sabah dan SMK Langgar, Kedah selepas berjaya mengetepikan lima sekolah lain yang berentap dalam saingan akhir tersebut.

Bercakap kepada pemberita, Joekryno berkata pasukannya yang dibantu guru pembimbing, Tchong Fui Mui membuat persiapan rapi selama dua bulan bagi memastikan persembahan dengan elemen 'peserta' ketiga itu tidak membosankan berjaya ketika memberi penerangan mengenai sains.

"Setiap pasukan hanya boleh ada dua peserta tetapi apabila kami menggunakan boneka, kami boleh membuat seperti ada tiga orang dan ini memerlukan kami meluangkan masa dua jam setiap hari bagi memastikan persembahan berjalan lancar.

"Selain menggunakan boneka yang diberi jolokan Dr Akomon, kejayaan ini pada saya turut dibantu kelainan yang kami bawakan dengan penampilan saya sebagai 'Rocket Man' yang menggunakan papan luncur serta alat pemadam api ketika melakukan persembahan," katanya yang turut dipilih sebagai penerima Anugerah Penyampai Terbaik.

Sementara itu, Kamalanathan berkata pertandingan yang memasuki lapan tahun penganjuran itu adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memupuk serta meningkatkan minat masyarakat, khususnya pelajar terhadap bidang sains dan teknologi. - Bernama

Tahniah kepada semua pemenang.