PUTRAJAYA - Majlis konvokesyen kali ketujuh UNITAR  International University  baru-baru ini menyaksikan lebih 2,000 graduan dari 11 kampus cawangan UNITAR seluruh negara, berkumpul untuk menerima skrol masing-masing di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya ( PICC).

Majlis konvesyen tersebut bukan sahaja dihadiri pelajar tempatan, tetapi juga turut disertai pelajar luar negara, seperti dari Libya, Brunei, Indonesia dan beberapa negara lain.

Naib Canselor UNITAR, Prof Dr Noor Raihan Ab Hamid berkata, majlis tersebut salah satu cara UNITAR menzahirkan terima kasih kepada graduan yang menamatkan pengajian di institusi itu.

“Pelajar telahpun menunjukkan kesungguhan sepanjang berada di UNITAR, walaupun ada antara mereka menghadapi pelbagai cabaran dan kesukaran, namun hari ini mereka telah berjaya meraih ijazah masing-masing,” katanya.

UNITAR terbukti berjaya melahirkan graduan yang kompeten seiring dengan keperluan semasa korporat serta industri melalui penerapan unsur CARE dalam sistem pengajaran.

Dorongan, motivasi dan juga prinsip CARE yang diperkenalkan UNITAR membolehkan setiap graduan dilengkapi dengan kemahiran hidup serta nilai profesional yang tinggi supaya mereka dapat meraih kejayaan pada  masa akan datang.

Bagi graduan, Rahul Thomas, yang mengambil jurusan Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian), dia terpaksa beralih bidang dari kursus multimedia ke kursus teknologi maklumat memandangkan bidang Siber Sekuriti lebih diminatinya selain mempunyai  permintaan yang tinggi di sektor pekerjaan dalam jangka masa panjang.

“Populariti bidang kerja siber sekuriti amat tinggi, banyak peluang pekerjaan untuk pakar dalam bidang ini tambahan pula UNITAR mempunyai rakan kongsi industri lebih 110 syarikat.

"Jadi, pelajar tidak perlu risau dengan peluang pekerjaan yang menanti selepas tamat belajar,” katanya.

Kata Rahul, pilihan untuk menceburi bidang yang lebih khusus memberikannya pelbagai manfaat bukan sahaja dari segi ilmu, dia turut berpeluang mengasah bakat dan kemahiran intrinsik untuk memajukan diri dengan panduan daripada UNITAR.

Tambahnya, bagi memantapkan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat,  Rahul turut mengikuti kursus persijilan  selama dua bulan di  Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA).

Katanya, kursus jangka pendek tersebut sebagai persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan.

Kadar kebolehpasaran graduan UNITAR sebanyak lebih 80 peratus juga menjadikannya yakin untuk mengisi peluang pekerjaan yang ditawarkan melalui rakan industri UNITAR iaitu SQL dan MIMOS.

Selain bidang pengkomputeran, anak jati Cheras itu juga turut meminati bidang pengurusan.

Ketika berada di tahun dua, Rahul sudahpun mempunyai sebuah syarikat pengurusan acara sendiri dengan beberapa orang pekerja.

Minatnya itu secara tidak langsung selari dengan prinsip CARE (Collaborative, Adaptive, Reflective, Entrepreneurial) yang diperkenalkan UNITAR.

Sementara itu, seorang lagi graduan UNITAR, penerima ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) melalui kelayakan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), Syed Fairul Syed Yahya Al-Mashoor, sebelum ini mempunyai diploma sebelum bekerja selama enam tahun di pelbagai syarikat multinasional.

Katanya, penantian mendebarkan telahpun selesai dengan segulung ijazah sarjana, kejayaan itu adalah hadiah berharga buat ibunya, Asmah Khalid atas segala kesusahan dan keperitan hidup membesarkannya.  

“Meskipun ibu tidak berkesempatan untuk menghadiri upacara konvokesyen diploma dahulu, kini ALLAH izin meraikan kejayaan saya di peringkat sarjana.  Selepas ini, saya akan terus memandang ke hadapan, untuk meraih lebih banyak kejayaan,” katanya.

Reaksi

“UNITAR menawarkan fasiliti dan kualiti pendidikan yang sama dengan universiti lain, namun jauh lebih berpatutan. Kakak saya juga merupakan lepasan universiti ini. Ia secara tidak langsung mendorong saya untuk melanjutkan pengajian di sini juga,”  Owengelo Rosalia, Filipina, Ijazah  Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian).

 “Suasana di kampus induk UNITAR amatlah selesa. Saya kagum melihat sebegitu ramai pelajar lain dari Sabah dan Sarawak, dan kami semua menjadi rakan erat. Boleh saja saya menyertai mana-mana kampus UNITAR di seluruh negara. Tapi saya lebih selesa berada di kampus Kelana Jaya. Kampus Kelana Jaya ini moden dan dilengkapi pelbagai fasiliti termasuk e-perpustakaan dan kemudahan digital,” Melinda Chelsea Mickey, Sabah, Ijazah Sarjana Muda Bimbingan dan Kaunseling (Kepujian).