KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memantau dan memastikan tahap kesihatan di semua institusi pendidikan khususnya di sekolah-sekolah berada pada tahap yang terkawal terutamanya ketika berlakunya wabak influenza pada masa ini.

Kementerian itu menjelaskan, KPM mempunyai mekanisme pemantauan serta pelaporan di semua institusi pendidikan yang membolehkan KPM mendapat maklumat yang tepat sepanjang masa.

Walau bagaimanapun, statistik rasmi mengenai jumlah murid yang disahkan menghidap influenza hanya boleh disahkan dan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sehingga 14 Januari 2020, KPM telah menerima laporan bahawa dua (2) buah kelas di SJKC Li Hwa, Pulau Pinang ditutup mulai 7 hingga 19 Januari 2020.

“Sebuah sekolah lagi iaitu Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak pula telah ditutup mulai 11 hingga 19 Januari 2020. Keputusan ini dibuat setelah mendapat nasihat dan pandangan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),”katanya.

KPM dalam kenyataannya juga turut menerima peningkatan laporan kes daripada beberapa sekolah di negeri-negeri lain seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Pada masa yang sama, guru-guru di sekolah sentiasa memantau keadaan kesihatan murid-murid bagi mengawal penularan wabak ini.

Sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan, mangsa akan diasingkan dan guru akan menghubungi ibu bapa/penjaga untuk membawa murid pulang bagi mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.

Menurutnya lagi, Pengetua dan Guru Besar akan sentiasa mewujudkan kesedaran akan penyakit ini kepada semua warga sekolah dengan mengamalkan amalan kebersihan diri yang sempurna.

“Murid-murid sentiasa diingatkan untuk mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dengan amalan kerap membasuh tangan dengan air bersih dan sabun atau pencuci tangan (hand sanitizer), mengamalkan adab batuk yang baik serta mengamalkan cara hidup yang sihat.

Bagi anak-anak yang mempunyai gejala jangkitan influenza, ibu bapa dinasihatkan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah atau pergi ke tempat tumpuan ramai.

Menurut kenyatan itu, sekiranya perlu ke tempat awam, mereka dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung (face mask). KPM memberi jaminan akan terus memantau situasi ini bagi memastikan kesihatan murid-murid dan warga sekolah sentiasa terjamin.

Artikel berkaitan:

Pegawai kesihatan pantau sekolah yang dikesan wujud jangkitan influenza A

Selangor pantau penularan virus influenza, akan tutup sekolah jika jangkitan makin serius