Sejak dahulu ramai pelajar yang fobia' untuk sambung pelajaran ke tingkatan enam.

Mereka menganggap, belajar tingkatan enam low class dan tidak 'gah' sebagaimana mereka yang menyambung pelajaran ke matrikulasi, diploma atau asasi.

Selain itu, peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dikatakan peperiksaan paling susah di negara ini dan ketiga paling susah di dunia, menyebabkan lagi ramai pelajar enggan ke tingkatan enam.

Walhal mereka belum lagi menduduki STPM tetapi sudah buat analisis sendiri bahawa STPM itu susah.

Dek momokan negatif itu, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk bekerja di usia muda. Biarpun mendapat tawaran ke tingkatan enam, mereka sanggup tolak tawaran kerana tidak mahu berdepan cabaran.

 SU TIAM

Dah boleh pakai baju biasa

Menurut Penolong Kanan Pentadbiran, Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya, Tan Su Tiam perasaan fobia ke tingkatan enam masih ada, cuma ia tidaklah seramai seperti sebelum ini.

"Saya tak nafikan, ramai yang takut untuk ke tingkatan enam kerana menganggap benda ini 'susah'. Bila 'susah', ramai yang mengelak.

"Tapi kini, situasi sebegini sudah berkurangan. Saya ambil contoh di Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya, sendiri. Pada awal penubuhan seramai 157 pelajar yang mengikuti pembelajaran, tetapi sekarang, bilangan pelajar bertambah kepada 450 orang," katanya kepada GPSBestari ketika sesi temu bual minggu lalu.

Di Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya, sebanyak 24 kelas dibuka kepada pelajar tingkatan enam dari beberapa buah sekolah berhampiran, 12 kelas untuk enam atas manakala selebihnya enam bawah.

Dua jurusan ditawarkan iaitu jurusan Sains (lapan kelas) dan jurusan Sains Sosial (16 kelas).

Su Tiam berkata, sistem pengajian STPM kini sudah berbeza. Jika dulu, pelajar tingkatan enam hanya belajar, bermula enam bawah hingga enam atas dan kemudiannya berhadapan peperiksaan pada hujung tahun sahaja.

Berbanding kini, sistem pendidikan tingkatan enam beralih kepada sistem STPM Baharu (Moduler).

Sistem ini membahagikan pengajian kepada tiga penggal iaitu penggal pertama, kedua dan ketiga. Pelajar akan menduduki peperiksaan pada setiap akhir penggajian penggal.

“Mana-mana subjek yang tak lulus pada penggal pertama dan kedua, boleh ulang subjek tersebut pada bulan November kecuali subjek pada penggal ketiga yang tidak boleh diulang.

"Keputusan sepenuhnya dikira daripada ketiga-tiga penggal berkenaan. Turut membantu keputusan adalah kerja kursus pelajar," katanya dengan menambah pelajar tingkatan enam dibolehkan memakai baju biasa iaitu baju jenis kasual atau tradisional bermula Januari 2015.

PdP pelajar tingkatan enam bertambah menarik bila penggunaan laptop digunakan ketika sesi pembentangan.

Ditempatkan di premis lain 

Menurut Su Tiam, sejak berada di premis berlainan, pelajar lebih fokus dan selesa untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP). Malah, mereka dapat bergaul dengan kawan-kawan yang sebaya dengan mereka.

"Aktiviti pun berfokus. Guru pula komited dengan tugas dan dapat beri fokus sepenuhnya kepada pelajar kerana tidak perlu mengajar kelas arus perdana yang lain.

"Kemudahan di kolej juga membantu skop pembelajaran berjalan lancar," katanya yang menyasarkan seramai 600 pelajar dapat melanjutkan pelajaran ke kolej ini nanti pada masa akan datang.

Sementara itu, SMK Petaling Jaya telah melakar sejarah sebagai institusi Pemusatan Tingkatan Enam bagi Mod 1 yang pertama di Semenanjung Malaysia dan kedua di Malaysia selepas SMK Bandaraya 2, Kota Kinabalu, Sabah.

Pengetua Cemerlang, Cikgu Ghumiat Kamdi diamanahkan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengetua pertama SMK Petaling Jaya.

Beliau dilantik secara rasmi memegang jawatan tersebut pada 26 Disember 2013. Kumpulan perintis terdiri pelajar tingkatan enam atas dari empat buah sekolah iaitu SMK Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya; SMK (L) Bukit Bintang, Petaling Jaya; SMK Taman Medan, Petaling Jaya dan SMK SS17, Subang Jaya.

Pada 24 Mac 2016, SMK Petaling Jaya ditukarkan nama kepada Kolej Tingkatan 6 Petaling Jaya.

'Tak stress, mudah dan 'happy' je.."

GPSBestari menemu bual beberapa pelajar Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya, berkenaan pemilihan ke tingkatan enam.

Masing-masing berkongsi pandangan dan pengalaman menarik serta tidak gentar menduduki STPM walaupun pelbagai momokan negatif diberikan terhadap pengajian peringkat tingkatan enam.

MOHAMED SHAFIQ HAKIMI

Pelajar tingkatan enam atas, Mohamed Shafiq Hakimi Mohd Azlan, 19, yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur berkata, pengajian ke tingkatan enam merupakan pilihan keduanya.

"Saya dapat sambung ke Politeknik Ungku Omar, Perak dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal. Tapi sebenarnya saya tak minat dengan jurusan ini. Untuk tidak buang masa dengan perkara tak berfaedah, saya sambung ke tingkatan enam.

"Belajar kat sini hanya ambil masa setahun setengah sahaja. Belajar pun best. Tak stress dan happy je," kata Ketua Biro Perhubungan dan Siaraya Majlis Pelajar Tingkatan Enam (MPTE).

Guru sentiasa bersedia membantu pelajar pada bila-bila masa.

Menurut Mohamed Shafiq Hakimi, dia ada terdengar 'soseh-soseh' negatif mengenai tingkatan enam. Tapi dia tak ambil endah.

"Sistem dah lain. Agak senang berbanding dulu. Peperiksaan pun ikut penggal pertama, kedua dan ketiga. Setiap lima bulan sekali, ada ujian penggal. Soalan boleh dikatakan senang jika kita study dan hafal.

"Kalau ada subjek yang tak ok, boleh ulang untuk penggal seterusnya, mudah kan," ujarnya yang memasang impian untuk mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 dalam STPM dan sambung pengajian ke Upsi serta menjadi seorang guru ekonomi kelak.

YI EN

Bagi pelajar SMK Seafield, Heng Yi En, 19, yang berpeluang melanjutkan pelajaran tingkatan enam berkata, mula-mula menginjakkan kaki ke kolej itu, dia berasa takut.

"Takut bukan sebab sambung ke tingkatan enam, tetapi takut sebab berada dalam suasana yang baru. Pelajar di sini, semuanya saya tak kenal. Rasa keseorangan sangat waktu itu.

"Lama-kelamaan, saya makin ok dan seronok untuk belajar di sini," kata pelajar tingkatan enam bawah (L6K1) ini.

Mendapat keputusan yang agak baik dalam SPM tahun lepas, Yi En berkata, dia masih rasa ada banyak kekurangan.

"Saya tak dapat capai apa yang saya nak. Memang susah gapai kejayaan jika tak usaha. Kena belajar, konsisten dan buat kerja rumah yang cikgu bagi. Saya harap dapat keputusan cemerlang dalam STPM nanti. Itu janji saya," jelasnya.

Mengambil subjek Pengajian Am, Muet, Perakaunan, Ekonomi dan Perniagaan, Yi En berkata, proses PdP sangat berbeza dan ini menjadikan pelajar terus melahirkan minat untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Ketika sesi pembentangan di kelas, kami dibenarkan guna laptop berbanding dulu hanya menggunakan manila kad.

"Dengan cara begini, saya dan rakan berasakan seperti sudah berada di pusat pengajian tinggi dan yakin bila berjaya ke sana, kami tidak akan kekok bila diminta untuk buat presentation," ujarnya sambil tersenyum.

Jambatan untuk ke universiti

 PREETHIKA

Ramai yang takut untuk ke tingkatan enam, tapi cerita pelajar ini buat kita terkejut besar..

"Perasaan takut langsung tak ada dalam diri saya. Jika anda lihat, dalam kehidupan kita seharian, tak semuanya senang. Bila berdepan dengan 'susah' ia akan memberikan sesuatu yang dapat majukan diri kita," tegas Preethika Alagarasamy, 18.

Merupakan pelajar SMK (P) Sri Aman, Petaling Jaya dan kini bergelar pelajar tingkatan enam bawah (L6K6), Preethika menjadikan STPM sebagai landasan utama untuk dia menjejakkan kaki ke universiti.

"Saya suka pada cabaran. Bila gagal, saya boleh baiki kelemahan diri. Lagipun, saya minat untuk pelajari subjek Sastera dalam Bahasa Inggeris di tingkatan enam. Kalau boleh nak jadi macam JK Rowling yang menghasilkan buku Harry Potter.

"Karyanya sangat hebat dan gaya bahasanya cukup mengagumkan," ujarnya yang cukup aktif dalam NGO sejak tingkatan tiga, suka menulis dan berkongsi pandangan dalam blog preethika.alagarasamy.

Cukup mengagumi kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, Preethika berharap dapat menjadi seperti tokoh itu kelak.

Suasana belajar di tingkatan enam bagaikan berada dalam kuliah kerana pelajar berpakaian biasa sepanjang sesi persekolahan.

Apa kata mereka?

Izmal Hakim Mohd Jailani, 18

Tingkatan enam bawah (L6K7)

"Sebelum naik ke tingkatan enam, saya terlebih dahulu dapat tawaran ke UiTM, Raub, Pahang dalam jurusan Diploma Sains Komputer. Dek kerana tidak minat dalam bidang itu, saya beritahu keluarga yang saya mahu sambung pengajian ke tingkatan enam.

Mereka tidak bantah, sebaliknya beri semangat. Mula-mula ke sini, memang ada sedikit fobia. Fobia sebab tak biasa dengan suasana, sekolah dan rakan baru. Tapi benda tu sekejap dah hilang sebab kami bagaikan satu keluarga. Guru banyak bimbing cara nak raih kecemerlangan dalam peperiksaan dan bagaimana nak masuk universiti. Kolej ni memang terbaiklah!"

Toh Zhee Qi, 19 

Tingkatan enam atas (U6K6)

"Belajar kat mana-mana pun susah. Sama juga dengan mereka yang bekerja. Tak ada yang senang. Nak berjaya, kena susah dahulu barulah kejayaan itu datang depan mata. Kalau belajar ikut cara yang betul, bijak bahagi masa, pandai pilih kawan, saya yakin semua akan berjaya.

"Saya ambil contoh 'exam' STPM. Semua orang cakap susah sangat pada hal UPSR, PT3 dan SPM pun susah juga. Paling penting, kita kena usaha lebih dan sedia korban masa dan tenaga jika mahu capai keputusan CGPA 4.0 dalam STPM."

Cikgu Nor Syahida Abdullah, 26, 

Guru Pengajian Am 

"Tingkatan enam sekarang bukan macam dulu lagi. Banyak yang dah berubah. Daripada cara pemakaian ke sekolah, sistem peperiksaan, pemilihan subjek dan banyak lagi, semuanya dah lain.

"Premis untuk pelajar juga sudah berasingan. Pendek kata, mereka nak fokus pada pelajaran mudah sebab tidak bercampur dengan adik-adik daripada tingkatan lain. Pelajar yang pasang cita-cita nak sambung pelajaran ke tingkatan enam, baik teruskan hasrat itu. Jangan takut dan dengar 'cakap-cakap' orang. Belum cuba belum tahu."

Maria Nesam Murugiah, 19

Tingkatan enam atas (U6K6) 

"Suasana di SMK Kota Kemuning dengan kolej ini sangat berbeza. Jika dulu kena pakai seragam sekolah, tapi sekarang, kami dibenarkan pakai baju biasa. Terasa seperti berada di universiti pula. Sistem belajar pun dah lain. 

"Ada kerja kursus, keputusan berdasarkan peperiksaan penggal dan macam-macam lagi. Kepada yang dapat tawaran, rugi kalau tak masuk.  Untuk adik-adik, kalau masih was-was, boleh jumpa senior tingkatan enam dan kongsi dengan mereka mengenai pengalaman belajar. Saya yakin, bila anda sudah dapatkan maklumat lengkap, anda pasti tidak menyesal untuk 'apply' ke tingkatan enam nanti."

INFO

Tempoh pengajian di tingkatan enam adalah satu setengah tahun

Terbahagi kepada tiga penggal

1) Penggal pertama: Mei - November

2) Penggal kedua : Jan - Mei

3) Penggal ketiga : Jun - November

9 KELEBIHAN STPM YANG BUAT ANDA TERNGANGA

1. Diiktiraf oleh University of Cambridge. Sijil setaraf dengan A-Level dan diterima oleh universiti setara dunia.

2. Menghasilkan pelajar yang lebih matang kerana pendedahan sukatan  pelajaran yang lebih komprehensif.

3. Menghasilkan pelajar yang lebih berdikari.

4. Merupakan permulaan yang baik sebelum menjejak kaki ke universiti.

5. Suasana PdP yang lebih kondusif dan selesa.

6. Tidak terikat dengan uniform sekolah.

7. Penyertaan aktiviti kokurikulum yang lebih meluas peringkat PPD, negeri dan kebangsaan.

8. Yuran pembelajaran secara percuma.

9. Sijil STPM laku dan boleh dijadikan medium untuk mencari pekerjaan.