SOALAN: “Cikgu, bos saya terlalu tegas tanpa mengira sesiapa pun. Saya rasa tertekan. Saya rasa, ruang untuk berbeza pendapat sangat sedikit.”

Ikuti penjelasan lanjut Cikgu Razali Saaran, Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam, Pusat Tingkatan Enam SMK Dato Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan.

Dalam sesebuah organisasi, kepimpinan adalah tonggak utama. Sebab itu kita sering mengumpamakan kepimpinan itu seperti gerabak keretapi. Sekiranya kepala di hadapan kekal baik di atas landasan, Insya-Allah, selamatlah ekor di belakangnya.

Kita tidak nafikan pemimpin kadangkala terpaksa bertegas untuk memastikan agenda organisasi terlaksana. Bukan mudah memimpin dan mengurus. Hanya orang yang berada di peringkat pengurusan memahami. Kadang-kadang, ada pekerja yang mudah diurus, kadang-kadang ada juga yang pelik perangainya.

Namun begitu, seseorang pemimpin tidak boleh melayan orang di bawahnya dengan cara yang sama kerana ragam mereka berbeza-beza. Di bawah ini saya gariskan sedikit cadangan bagaimana menyantuni individu di bawah mereka.

1. Gaya kepimpinan demokratik untuk orang bawahan yang mendengar kata dan mampu melaksanakan tugasnya dengan baik.

Melalui gaya kepimpinan ini, seseorang pemimpin itu boleh bersifat mudah lentur. Sesuatu arahan lebih bersifat dua hala. Orang bawahan yang mudah diurus dan bagus, sebaiknya diurus dengan cara yang  menang-menang. Mereka itu adalah aset bernilai dalam organisasi.

Sekiranya mereka merasakan pemimpin tidak menghargai mereka dengan cara yang sepatutnya, atau melayan mereka seolah-olah mereka itu pekerja yang teruk, kita bimbang, prestasi mereka akan menurun disebabkan emosi mereka terganggu. Akhirnya, akan ada yang membawa diri ke tempat lain dan organisasi kehilangan seseorang yang berbakat dan bernilai.

2. Gaya kepimpinan autokratik untuk orang bawahan yang sukar diurus.

Dalam organisasi, kita percaya ada orang bawahan yang sukar diurus. Kalau diberi kerja, sukar untuk mendapat komitmen daripada mereka. Kerjanya tidak seberapa, mulutnya pula yang berlebih-lebih. Orang begini, perlu diurus menggunakan gaya kepimpinan di atas. Kebiasaannya arahan berbentuk sehala dengan interaksi dua hala yang minimum.

Di samping itu, pemimpin perlu mewujudkan arahan yang jelas dan kawalan yang berterusan. Pemimpin perlu memastikan pekerja dapat merasakan bahawa pemimpin benar-benar memantau prestasi kerja mereka dan mengambil tindakan yang bersesuaian dengan prestasi kerja. Jika itu yang mereka rasakan, Insya-Allah, barulah mereka akan melaksanakan tugasan berdasarkan kehendak organisasi. Jika tidak, mereka akan bertindak mengikut kepala mereka sendiri.

Saya kira, seandainya seseorang pemimpin itu adil, iaitu  meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan mengurus orang di bawahnya mengikut pendekatan yang sesuai, orang bawahan akan dapat diurus dengan lebih baik lagi dan dapat mewujudkan organisasi yang berfungsi dengan cara yang sepatutnya. Akhirnya, matlamat kita untuk melahirkan organisasi yang cemerlang dengan cara yang aman lagi membahagiakan akan tercapai.

" Jawatan itu beban, bukan kegembiraan. Ambillah beban itu untuk simpanan akhirat yang menguntungkan".

Artikel berkaitan:

Kenali 15 guru hebat dan handal, ikuti perkongsian Cikgu Fadhli Salleh tentang mereka

Musim PKP: Gigih Cikgu Nazmi jelajah 13 kampung, hantar kerja sekolah murid

Aktiviti menyeronokkan yang anda boleh buat sepanjang PKP

PKP pun pelajar hantar kek sempena hari lahir cikgu, Cikgu Donze terharu terima kejutan

PKP bulan 'bulan madu' - Guru Cemerlang Matematik kongsi tip mudahnya belajar atas talian

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi