PASIR GUDANG - Keputusan kerajaan negeri menutup lima buah sekolah sekitar Taman Mawar di sini susulan insiden murid dua buah sekolah dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat pencemaran udara dianggap tidak wajar.

Peniaga kedai makan yang terletak bersebelahan Sekolah Agama (SA) Taman Mawar, Normah Ahmad, 62, berkata, keadaan kelihatan sudah pulih selepas hujan lebat turun sejak Khamis
lalu.

“Bagi saya tak wajar pun tutup sekolah ini sebab dah tak ada apa-apa lagi. Hujan lebat masa hari kejadian dengan semalam. Rasanya dah ok.

“Sepatutnya buka saja sekolah seperti biasa. Tadi pun ada sebuah van sekolah sampai jam 7 pagi nak hantar pelajar tapi lepas dimaklumkan pemandu patah balik.

"Ramai budak dalam van, mungkin ibu bapa dan pemandu tak dapat maklumat,” katanya.

Normah

Kelmarin, kerajaan negeri mengarahkan lima sekolah dan tadika di sekitar Taman Mawar ditutup selama dua hari bermula hari ini bagi membolehkan proses pemantauan kualiti udara di kawasan itu selesai dilakukan. Sekolah yang ditutup ialah SA Taman Mawar, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2, Tadika Pasti dan Tadika Pintar Bistari bermula 23 Jun sehingga 24 Jun 2019.

Khamis lalu, 15 murid SA Taman Mawar, SK Pasir Gudang 4 dan dua wanita mdewasa dikejarkan ke HSI selepas mengalami simptom muntah, loya dan pitam dipercayai akibat pencemaran udara.

Mengimbau kejadian Khamis lalu, Normah bersama pekerjanya ada menghidu bau aneh tetapi mereka menyangka bau itu datang daripada longgokan sampah di tepi jalan.

“Memang ada bau, tak tahu nak jelaskan bau itu macam mana tapi saya tak tahu pula bau tu bahaya.

“Ingat bau sampah sebab bahagian depan kedai di tepi jalan memang ada longgokan sampah. Masa itu kami sedang siap-siap nak tutup kedai dah,” katanya.

Malah, tambahnya, dia juga mengakui tidak menerima sebarang notis menutup kedai susulan kejadian pencemaran udara itu.

Isa

Sementara itu, penduduk dari Taman Mawar Fasa 5, Isa Mohamed, 68, berkata, keputusan menutup sekolah itu wajar dan perlu demi keselamatan murid-murid yang masih kecil

“Saya setuju tutup sebab takut budak-budak terima akibat lagi macam Khamis lepas sebab ramai budak-budak kecil.

“Syukur cucu saya berumur sembilan tahun yang masa itu di sekolah agama tak apa-apa. Sampai rumah cucu terus dimandikan. Cucu ada cerita kawan-kawan dia muntah dan pengsan,” katanya.

Akui risau perkara sama berulang, Isa mahu kerajaan negeri mengarahkan agar sekolah ditutup sehingga keadaan benar-benar selamat.

“Lusa saya tengok keadaan dulu, kalau sekolah dibuka semula saya akan hantar cucu ke sekolah tapi tunggu dulu sekejaplah.

“Risau juga kalau jadi lagi. Dulu kena tempias kes Sungai Kim Kim pun kami lari ke Batu Pahat seminggu,” katanya.

SK Pasir Gudang 4 yang ditutup susulan insiden Khamis lalu.

Notis penutupan ditampal di pintu pagar SA Taman Mawar di Pasir Gudang.

Artikel menarik:

Guru ini kongsi 12 kelebihan masuk Tingkatan Enam, nombor tujuh pastibuat ramai tersenyum

Mudahnya belajar - Dr. Tengku Asmadi kongsi tip ulangkaji untuk peperiksaan

Pelajar autisme SMK Bukit Baru, Juara Khat Pendidikan Khas peringkat negeri Melaka dua tahun berturut-turut

Teropong Tingkap, ustazah ini kongsi kaedah mudah mengaji al-Quran!

"Rasa bangga apabila murid Melayu saya boleh berturut bahasa Cina." - Guru Besar, SJK(C) Khay Beng