Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah menyaksikan banyak bidang terjejas dan perlu dilaksanakan dalam norma baharu termasuklah dalam bidang pendidikan.

Keadaan ini telah sedikit sebanyak mengubah corak pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di Malaysia dari pembelajaran bersemuka kepada Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berkonsepkan pembelajaran maya yang berasaskan elektronik (e-learning), kelas digital dan pembelajaran jarak jauh (remote learning).

Sebenarnya, konsep pembelajaran secara maya telah lama diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu melalui pengenalan konsep Sekolah Bestari pada tahun 1996, serta Pembestarian Sekolah dan laman Frog VLE pada tahun 2006.

Kaedah ini semakin berkembang dan diterima masyarakat dunia ketika penularan pandemik korona virus COVID-19 yang bermula pada penghujung 2019.

Seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang memperjuangkan ‘menjadikan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa serta memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia’, KPM telah memperkenalkan satu pelantar pendidikan yang dinamakan sebagai Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) bagi membantu para guru dengan menyediakan pautan kepada Google Classroom dan Microsoft Teams, Buku Teks Digital, EduwebTV, CikgooTube dan pautan aplikasi gamifikasi yang dapat membantu PdPc iaitu Microsoft Minecraft Education Edition.

Selain itu, KPM juga telah menjalankan pelbagai kursus bagi menyediakan guru dengan kemahiran menggunakan pelantar pembelajaran digital serta membina bahan pengajaran melalui siri webinar atau bengkel dalam talian yang dianjurkan oleh Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, KPM dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Kursus dalam talian ini boleh dilayari melalui laman sesawang Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) atau platform komuniti-komuniti guru seperti Digital Classroom Malaysia, eDidik Malaysia, Cikgu Get Certificate (CGE), Gegar Digital Learning Malaysia (GDL), CikgooTubedan Akademi Youtuber.

Pihak KPM turut bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia memperkenalkan slot program TV Pendidikan melalui saluran RTM Okey dan ASTRO Tutor TV sebagai tambahan kepada siaran EduwebTV yang pada ketika ini dilaksanakan secara penstriman sesawang (web streaming).

Selain KPM, beberapa buah syarikat gergasi digital dunia iaitu Google LLC, Microsoft Corporationdan Apple Inc. juga telah mengorak langkah.

Mereka telah memperkenalkan teknologi pendidikan norma baharu termasuklah di Malaysia sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat mereka dalam melestarikan pendidikan global.

Google menerusi Google for Education, Microsoft menerusi Microsoft Education dan Apple menerusi Apple Education telah menyediakan akses khas kepada sistem dan aplikasi-aplikasi pendidikan maya, menawarkan kursus dalam talian secara percuma dan berbayar kepada para guru dan murid-murid untuk menggunakan aplikasi-aplikasi yang disediakan oleh mereka.

Berdasarkan Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang telah disediakan oleh KPM pada 2 Oktober lalu,  telah menggariskan tiga kaedah PdPR iaitu secara dalam talian (online); luar talian (offline) atau off-site.

Kekangan daripada pihak guru dan murid dalam PdPR ini iaitu ketiadaan kemudahan gajet atau telefonpintar di rumah, capaian internet lemah di sesetengah kawasan dan kurang kemampuan membeli data internet untuk melibatkan diri dalam pembelajaran maya ini mampu diatasi dengan menggunakan kaedah luar talian iaitu penggunaan peranti tanpa capaian internet, penggunaan buku teks dan bahan pembelajaran lain.

Selain itu, kaedah off-site iaitu kaedah pembelajaran yang berlaku di lokasi atau premis yang diisytiharkan sebagai pusat pemindahan sementara akibat wabak boleh juga dilaksanakan bagi individu yang terlibat dalam situasi ini.

Secara umumnya, PdPR mampu memberikan banyak impak positif terhadap pembangunan sistem pendidikan di Malaysia iaitu:

1) Menggalakkan perkongsian maklumat dalam sesebuah komuniti. Pengunaan teknologi perhubungan terkini ini mempercepatkan penyebaran maklumat dalam kalangan masyarakat.

2) Memberi peluang yang lebih luas kepada masyarakat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan mengiktiraf kemahiran serta pengetahuan yang masyarakat miliki.

Jika pencapaian calon melebihi tahap pencapaian minimum dalam ujian yang dijalankan dalam talian, maka calon akan mendapat sijil elektronik (e-certificate) atau sijil bercetak oleh pihak penganjur.  

3) PdPR memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dalam kekangan PKPB dari sudut masa, tempat dan kondisi semasa.

4) Sesi pengajaran yang dirakam atau latihan yang diberi boleh diulangi untuk memantapkan kefahaman pelajar dalam sesuatu pelajaran.

Walau bagaimana pun kita tidak dapat nafikan bahawa PdPR juga mempunyai beberapa kelemahan iaitu:

1) Jurang pengetahuan yang lebih tinggi dalam kalangan anggota masyarakat terutamanya individu yang gemar mengikuti kursus dalam talian dengan individu yang kurang atau tidak pernah mengikuti kursus dalam talian ini.

2) Kemerosotan kualiti nilai dalam kalangan masyarakat. Pembelajaran ini tetap berlaku namun kurang penerapan nilai dalam diri pelajar termasuklah disiplin, adab terhadap guru dan sebagainya.

3) Kualiti ilmu yang diperoleh melalui PdPR berbeza dengan pembelajaran secara bersemuka.

4) Penyalahgunaan internet mungkin berlaku dalam kalangan pelajar yang menggunakan kemudahan ini untuk memuat turun permainan dalam talian dan bahan-bahan yang tidak sepatutnya.

Kesimpulannya, PdPR merupakan alternatif terbaik dan terakhir dalam mengekang penularan pandemik COVID-19 pada waktu yang sama menepati kehendak Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), menggalakkan penggunaan teknologi dan kemahiran pembelajaran abad ke dua puluh satu (PAK 21) terkini dalam kalangan pendidik dalam pelajar.

***Terima kasih Guru Matematik dan Sejarah, SK Sungai Tua Baharu, Batu Caves, Selangor, Cikgu Ahmad Zhafran Md Noor atas perkongsian ini.

Artikel menarik

Mampukah guru-guru menjadi ‘wira’ di hati pelajar...hadam perkongsian Guru Cemerlang ini

Bukan semudah yang dianggap, jasa pengorbanan sering disalah erti, kesian cikgu...