KOTA KINABALU - Seramai 2,969 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 telah dikenal pasti terlibat untuk menduduki penjadualan semula peperiksaan awam itu seluruh negara sehingga 3 Mac lepas, kata Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya.

Beliau berkata, jumlah itu merupakan 0.74 peratus daripada keseluruhan 401,105 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2020, dan penjadualan semula peperiksaan untuk calon itu dijangka bermula pada 6 April ini.

Beliau berkata, pemakluman dan semakan bagi calon terlibat dalam peperiksaan dijadualkan semula akan dimaklumkan ke setiap negeri setelah tamat peperiksaan SPM 2020.

"Kementerian Pendidikan (KPM) telah menetapkan bahawa hanya calon positif Covid-19, calon diarahkan kuarantin dan calon sakit dengan dokumen atau pengesahan surat doktor sahaja dibenarkan menduduki peperiksaan SPM yang dijadualkan semula.

"Soalan (diberikan kepada calon SPM 2020 yang terlibat dengan penjadualan semula) adalah berlainan, tetapi sudah sedia ada daripada bank Lembaga Peperiksaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Kesyukuran Pengurusan Peperiksaan SPM 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kota Kinabalu di sini, petang semalam.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin dan Pengetua SMK Agama Kota Kinabalu, Hasnah Mohd Yakob.

Seramai 37 daripada 109 calon sekolah itu selesai menduduki peperiksaan SPM bagi kertas terakhir iaitu Sains Komputer, semalam.

SPM 2020 telah dilaksanakan mulai 22 Feb lepas dan berakhir semalam membabitkan 83 mata pelajaran yang diadakan di 3,310 pusat peperiksaan dengan seramai 48,014 petugas dilantik seluruh negara.

Di Sabah, 36,432 calon menduduki SPM di 314 pusat peperiksaan disediakan di seluruh negeri, melibatkan seramai 5,305 petugas. - BERNAMA

Artikel menarik

'Saya belum sezalim itu cikgu. Itu bukan cara saya mentadbir sekolah'

Kebaikan LMS dalam pengajaran dan pembelajaran guru